Siapa Douglas Uggah? Menyingkap peribadi bakal Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Pengunduran Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang daripada kerusi Layar selepas 42 tahun menjadi wakil rakyat menimbulkan pelbagai spekulasi. Siapakah mengisi kerusi Timbalan Ketua Menteri yang bakal dikosongkan oleh Jabu selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak yang ke-11 nanti.

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Mengapakah Douglas Uggah Embas dikatakan pengganti paling sesuai? Untuk menjawab soalan ini, wartawan kanan SarawakVoice di Kuala Lumpur, Zulkarnain Abdul Rahim telah menemu bual penganalisis politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Dr Awang yang mengajar politik Melayu merupakan pakar dalam politik Sarawak dan sering dikutip media dan muncul di kaca TV.

Mengapakah sejak awal Januari  Dr sudah menjangka Douglas akan kembali ke Sarawak dan kini ternyata benar?

Sebenarnya, sejak tahun lepas, ura-ura Datuk Amar Douglas Uggah kembali ke Sarawak sudah berkumandang.  Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menganggap Datuk Douglas sudah lama  berkhidmat  dalam kerajaan persekutuan dan kini tiba masanya dengan pengalaman luas di peringkat persekutuan dapat membantu  beliau dan pasukannya membangunkan negeri Sarawak

Maksudnya pengalaman Douglas sangat berharga?

Pengalaman Douglas yang sudah berkhidmat selama tujuh penggal sejak tahun 1986, bersama suka dan duka PBB dalam  menangani pemberontakan politik dalam isu Ming Court. Beliau  juga  mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan sejak zaman  pemerintahan Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi dan kini Najib  Tun Razak.

Ini memberikan kelebihan dan banyak mematangkan beliau dari segi tadbir urus sebuah kerajaan dan parti politik, selain memberikan peluang berinteraksi dengan pelbagai lapisan rakyat bawahan hinggalah peringkat Perdana Menteri.

Pengalaman terlibat dengan agensi-agensi kerajaan dan di luar kerajaan persekutuan dan negeri-negeri turut memberikan kelebihan kepada beliau untuk meningkatkan lagi hieraki politik  dalam parti dan kerajaan.

Adakah ini bermakna Datuk Amar Douglas akan  dilantik  ke jawatan lain yang besar di Sarawak?

Sudah pasti, Tan Sri Jabu yang mengumumkan pengunduran dalam politik akan  mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PBB kepada Douglas yang berpengalaman luas ini. Ketika ini, Douglas  ialah Naib Presiden Kanan parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Jadi, beliau  dilihat sebagai calon paling layak untuk menggantikan Tan Sri Jabu  sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Tambahan pula, Tan Sri Jabu merupakan orang  yang berperanan membawa Douglas terlibat dalam dunia politik dan mengasah bakat kepemimpinan Douglas hingga yang dapat kita lihat hari ini.

Dalam politik parti PESAKA, setakat ini, Datuk Douglas paling kanan dan disegani dalam parti.

Terdapat ura-ura sehingga minggu lepas bahawa Douglas akan bertanding di Layar dan bukannya di Bukit Saban tetapi ternyata segalanya meleset. Mengapakah Douglas dipilih untuk bertanding di Bukit Saban?

Tan Sri Jabu sangat sentimental dengan kawasan yang sudah 42 tahun beliau menjadi wakil rakyat dan Layar mempunyai nilai nostalgik buat Tan Sri Jabu. Justeru, Tan Sri Jabu, ingin meninggalkan legasi politik di Layar, iaitu dengan mengambil anaknya sendiri, Gerald Rentap sebagai penggantinya.

Tindakan ini mempunyai risiko yang  bakal memberikan implikasi kepada parti PBB dan BN Sarawak sekiranya tidak ada langkah strategik untuk meningkatkan undi di Layar.

Adenan memahami sentimen tersebut, dan beliau meminta  Tan Sri Jabu mengumumkan sendiri calon penggantinya.   Douglas sudah pasti memahami sentiment ini, walaupun beliau tahu  sekiranya beliau bertanding di Layar, peluang meningkatkan undi sangat besar kerana kepopularan Douglas  dalam kalangan etnik Iban dan Melayu.

Sejauh manakah luas pengalaman politik Douglas?

Namakan sahaja  jawatan seperti setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Setiausaha parlimen di Jabatan Perdana Menteri, setiausaha parlimen  di Kementerian Luar Bandar, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Pengangkutan, hinggalah  menjadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, serta Menteri Perladangan Industri dan Komoditi. Kesemua  pengalaman ini jarang-jarang dipunyai oleh ahli-ahli politik di Sarawak.

Selain pengalaman luas, apakah faktor beliau dipilih  oleh Ketua Menteri?

Pendekatan politik Datuk Douglas yang sering mengemukakan dan mencari   jalan penyelesaian dalam permasalahan politik hingga  dalam soal pembangunan negeri dan negara  secara bernas dan rasional merupakan antara faktor Douglas disenangi.

Secara peribadi, Douglas juga disenangi oleh akar umbi kerana sifat mesra rakyat, merendah diri dan tidak sombong.  Aspek ini merupakan pakej politik yang sangat penting dalam era politik baharu negara. Itulah sebabnya undi popular atau majoriti undi yang dimenanginya setiap kali pilihan raya umum di parlimen Betong sentiasa meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

Adenan memerlukan watak politik sebegini untuk  bersama-samanya memacukan politik kesejahteraan di Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM