MARUDI: Perang besar di antara Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dalam berebut kerusi DUN Marudi pasti akan terjawab petang ini.

Di atas kertas, kerusi tersebut sudah tersenarai sebagai milik “calon langsung BN” namun siapa pemilik sahihnya, masih menjadi teka-teki.

Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem semalam berkata, beliau akan menamakan calon tersebut pada hari ini, ketika program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran SPDP di sini.

marudi 2

Dua nama yang bertembung dan berebut untuk menjadi wakil BN di kerusi tersebut ialah penyandang, yang kini Setiausaha Agung TERAS, Datuk Sylvester Entri Muran dan calon SPDP, Datu Dr Pengguang Manggil, yang juga bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Komuniti dan Kerajaan Tempatan.

Berikutan krisis yang berlanjutan di antara kedua-dua parti tersebut, parti SPDP kini berusaha untuk menyingkirkan Entri Muran, atas alasan parti yang diwakilinya bukan sebahagian daripada parti komponen BN. Dan kerusi itu secara tradisinya hak SPDP.

Pada PRN 2011, Entri Muran memperoleh majoriti 3,202 setelah mengutip 4,578 undi untuk mengetepi 3 pencabar lain dari PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon bebas.

Tugas berat pasti menanti Adenan kerana beliau bukan sahaja perlu memahami sokongan rakyat di kawasan tersebut, tetapi yang lebih penting merasai denyut segala sentimen yang ada.

Dalam kes kerusi “panas” yang berlapik “dendam peribadi” ini, Adenan perlu memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berlaku.
marudi 3

Beliau perlu berhati-hati menarik rambut halus dalam tepung, bagi memastikan tepung tidak terurai dan rambut selamat di tangan.

Lebih penting beliau perlu memastikan wujudnya situasi “menang-menang” antara kedua-dua pihak, kerana pemilihan salah satu calon sebagai ” calon langsung BN” pasti mewujudkan rasa tidak puas hati pada pihak yang satu lagi. Yang digeruni, ia akan berakhir juga dengan dendam. Dan dari dendam maka beranaklah sabotaj.

Adenan sebagai ahli politik yang matang dan “masak”, pasti memahami bahawa tidak mudah untuk memuaskan hati semua pihak. Yang penting menang tidak menjadi arang, yang kalah tidak menjadi abu.

Yang jelas hari ini amat penting bagi kedua-dua kem. Si “palak lasak” Entri (meminjam Tan Sri Adenan) pasti menajam telinga sambil berdoa namanya kekal terpahat, atas komitmen yang ditunjukkannya kepada rakyat Marudi selama ini.

Untuk PRN kali ini, Entri pastinya mempertaruh rekod cemerlangnya menjadi ADUN Marudi sejak tahun 1996, 2001, 2006 dan 2011, selain memastikan kawasan ini muncul kubu selamat BN.

Bagaimanapun lawan Entri bukan kecil anak. Beliau perlu berhadapan dengan tokoh berpengalaman, yang banyak berinteraksi dengan rakyat sebelum ini.

Dr Pengguang Manggil mungkin baharu dalam politik, namun sehingga bersara, namanya harum sebagai antara penjawat yang kurang isu dan mampu berhadapan dengan rakyat serta menyelesaikan masalah mereka.

Apakah kedua-duanya mampu berpelukan selepas nama calon yang terpilih diumumkan? Dan yang lebih penting, apakah Adenan akan mengumumkan calon BN Marudi hari ini? Umum atau tidak umum, masing-masing membawa implikasi yang tersendiri.

Ketika kedua-dua pihak berebut menjadi calon BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon wanita, yang juga Ketua Biro Pendidikan Negerinya, Elia Bit sebagai pencabar mana-mana calon BN.

Elia, 27 tahun daripada etnik Penan, adalah lulusan Linguistik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan memiliki sarjana Peperangan Maklumat Media daripada Universiti Teknologi Malaysia.

Kini Elia bergerak aktif sebagai aktivis Jaringan Orang Asal Se-Malaysia mula menunjukkan belang memperjuang kekurangan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan ini. – SARAWAKVOICE.COM

marudi