KUCHING: Kepantasan dan kecekapan seorang anggota bomba sukarela, menyelamatkan seorang lelaki daripada lemas selepas terjatuh dari jeti sungai di Kampung Bako, dekat sini.

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, lelaki terbabit dan seorang rakannya yang bertugas sebagai kontraktor pemasangan Syarikat Sesco Berhad sedang memanjat naik ke jeti Kampung Bako Ulu, sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai berlumpur itu.

Kejadian itu menggemparkan orang ramai yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Kampung Bako Indah, Noh Yahim, yang kebetulan sedang bekerja dan bertukang di rumah berhampiran segera ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa yang berbadan besar sedang terkapai-kapai di dalam air.
lemas bako 2

Dengan pantas Noh meluru mendapatkan lelaki tersebut, mencapai dan menarik tangan mangsa dari dalam air sebelum memasukkannya ke dalam bot yang digunakan.

Mangsa yang keletihan kemudian dibawa menaiki ambulans ke Klinik Kesihatan Bako, yang terletak berdekatan.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hi ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memuji komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Noh.

” Sifat kesiapsiagaan, peka dan pantas yang beliau tunjukkan itu amat membanggakan kami, dan wajar dicontohi,” katanya lagi. – SARAWAKVOICE.COM

lemas bako