KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Sarawak menyifatkan Tan Sri Adenan Satem lebih teruk daripada Tun Abdul Taib Mahmud semasa pemerintahannya sebagai Ketua Menteri, selama 33 tahun, dari 1981 hingga 2014.

Ini ekoran tindakan Ketua Menteri keempat Sarawak itu mengenakan sekatan terhadap beberapa pemimpin pembangkang dalam tempoh dua tahun pemerintahannya.

Terbaharu Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah dihalang masuk oleh pihak imigresen di Lapangan Terbang Sibu,  pukul 10.40 pagi semalam, dalam tindakan yang disifatkan pembangkang sebagai bermotif politik menjelang pilihan raya negeri ke-11.

Pilihan raya negeri dijangka diadakan pada akhir April atau awal Mei ini.

Seperti pemimpin politik dan aktivis lain sebelum ini,  arahan sekatan itu difahamkan diterima daripada Pejabat Ketua Menteri, termasuk bagi kes pensyarah kontroversi Profesor Ridhuan Tee Abdullah, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail, dan  Tian Chua.

Setakat ini sekitar 10 orang, majoriti  daripadanya pemimpin politik pembangkang telah disekat daripada memasuki Sarawak.

Kuasa imigresen merupakan satu daripada perkara yang terkandung dalam Perjanjian 18 Perkara yang dipersetujui ketika Sarawak mengambil keputusan untuk sama-sama membentuk Malaysia pada 1963.

dap cabar 3

Chong Chien Jen, dalam sidang media di sini semalam berkata, Adenan cuba memperlihatkan dirinya sebagai reformis. Tetapi hakikatnya, tindakannya, bagi beliau, lebih teruk daripada Taib.

“Beliau cuba gambarkan dirinya sebagai Ketua Menteri baharu, reformis, tetapi beliau  menunjukkan belangnya yang sebenar, dan melakukan apa-apa saja untuk memberi kelebihan kepada BN,” tambahnya.

Hal ini bagi Ahli Parlimen Bandar Kuching itu, merupakan satu tirani dalam pembikinan.

“Malah, beliau menunjukkan dirinya lebih teruk daripada Taib, berdasarkan apa yang dilakukannya sekarang” tegas Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.

Dengan suara tegas dan intonasi yang agak tinggi, Chong yang dianggap sebagai hero dalam kalangan pengundi Cina kerana berani mendedahkan kelemahan kerajaan di Dewan Undangan Negeri,  beliau berkata, walau berlaku zaman teruk mantan Ketua Menteri, Taib tidak pernah menyekat pemimpin pembangkang daripada memasuki Sarawak.

Bagi Chong, setidak-tidaknya Taib berpegang kepada prinsip asas demokrasi.

Justeru, beliau meminta Adenan yang telah pun melaksanakan 50 keputusan dan prinsip, sehingga melantunkan popularitinya ke paras 85 peratus, bersikap adil terhadap pembangkang, sesuai dengan tuntutan demokrasi dan wujud gelanggang permainan yang lebih adil.

Ketika Taib menjadi Ketua Menteri, Chong dan DAP sering menjadikan beliau sebagai sasaran kritikan dengan membuat pelbagai pendedahan. Malah, slogan DAP dalam pilihan raya lalu, ialah “Undi SUPP, sama dengan Undi Taib” dalam usaha membangkitkan kemarahan terhadap pemimpin itu terutamanya dalam kalangan pengundi Cina.

DAP memenangi 12 daripada 19 kerusi ditandinginya, kesemuanya kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya lalu, sebahagiannya kerana Taib dilihat sebagai liabiliti, dan kerana sikap muak pengundi Cina terhadap beliau. – SARAWAKVOICE.COM

Antara komen netizen… klik sini untuk komen di Facebook

Screen Shot 2016-03-23 at 2.30.27 PM

Beri pandangan anda di sini