Persoalan yang terpulang kepada diri individu masing-masing untuk merencanakan jawapannya kerana nampak macam ‘Team Adenan’ bukan ‘BN Sarawak’.

Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat – bukan sahaja SUPP, SPDP, atau PRS akan terjejas tetapi PBB sendiri pun akan tempias.  

Masalah juga jikalau asyik-asyik melihat masalah pada orang lain tetapi enggan menyelidiki kemungkinan berpunca daripada diri sendiri.

Khuatir nanti kerana elak senget tertiarap pula. Kusut di hujung balik ke pangkal.  

Gambaran yang diperoleh daripada akhbar tempatan Sarawak seolah-olah Adenan di Sibu baru-baru ini secara peribadi mahu membawa masuk UPP dan Teras untuk tanding atas logo ‘dacing’ dan menganak-tirikan parti-parti komponen BN sendiri tanpa konsultansi dengan mereka.

Kalau bukan “Team Adenan” dilarang menggunakan logo BN meskipun parti komponen BN?

Hujah simplistiknya menggunakan cara ‘calon langsung BN’.

Mesti proksi atau pelobi-pelobi calon bertanding sedang berusaha keras sekarang apatah lagi sudah memasuki penghujung Mac.   

Mudah-mudahan tiada pihak yang terlepas pandang musuh politik BN akan lawan BN sebagai suatu entiti tunggal iaitu lawan ‘dacing’.     

Apakah kekangan yang sedang dihadapi sehingga terpaksa mengambil parti daripada luar BN? Berlaku kekeliruan, salah faham, atau keegoan diri?

Atau ada ‘perjanjian sulit’ daripada kepemimpinan lepas yang terpaksa dihormati atau patuhi? 

Harap semua bersabar, jangan tergesa-gesa lompat kepada kesimpulannya terlebih dahulu sebaliknya biar sama-sama semua selidiki terlebih dahulu untuk mendapatkan cerita yang sahih.

Pelbagai aspek harus diteliti, boleh direnung-renung bersama-sama.

Sebenarnya banyak persamaan yang boleh dilihat antara Adenan dengan Najib sebenarnya – mengambil konteks pada awal tempoh waktu beliau mengambil alih sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Di bawah slogan 1Malaysia, Najib cuba memenangi hati semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum termasuklah lawatan mengejut ke Petaling Street yang turut dikenali sebagai Chinatown sehari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.  

Adenan pun nampak mirip sedang berusaha memenangi hati semua rakyat Sarawak menerusi pelbagai langkah-langkah yang telah diambil beliau – terbaharu memansuhkan cukai tanah.

Bukan sekadar pada pengucapan tetapi tindakan-tindakan yang boleh dilihat oleh rakyat Sarawak.  

Bagi kes Najib entah di mana salah dan silapnya semuanya berubah selepas PRU-13.

Paling utama adalah disebabkan gagal mendapat sokongan pengundi Cina walhal BN betul-betul berasa mereka sudah melakukan semua yang terbaik.

Sudah tentu trend sokongan rakyat terhadap “Ini Kali Lah” pada ketika itu luar biasa berbanding sekarang yang menyaksikan PR sendiri sudah diganti dengan PH.

BN secara keseluruhannya dalam PRU-13 itu berjaya menawan semula beberapa kerusi majoriti pengundi Melayu tetapi ada juga kerusi-kerusi yang mereka kalah. Mereka berjaya memperoleh lebih sedikit sokongan pengundi India,  tetapi kehilangan besar undi pengundi Cina. Tidak lupa BN buat pertama kali hilang majoriti undi popular.

Betulkah pilihan raya Sarawak kali ini adalah pasal Adenan Satem?

Menariknya anda akan memperoleh respons seolah-olah Adenan one-man show. Tunggu Adenan bagitau siapa yang dipangkah lepas penamaan calon nanti?        

Rata-rata golongan ini sudah keliru, sudah terlepas pandang pilihan raya adalah kisah pasal RAKYAT.    

Kuasa rakyat – people’s power dan apa yang rakyat mahu! Bukan buddies bukan kroni individu tertentu bukan sama sekali drama politik.    

Alangkah menarik ceritanya jika Adenan menawarkan kerusi PBB kepada UPP atau Teras. Ndak iboh mikir mikir hal ya agik, udah temuk.

Apatah lagi potong jalan tidak mengikut barisan ada pro and consnya.  – SARAWAKVOICE.COM