Sunday, June 26, 2022

Majalah antarabangsa Time angkat nasi lemak antara 10 makanan sihat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Majalah berita antarabangsa  Time yang mempunyai edaran meluas di seluruh dunia, mengangkat nasi lemak, sebagai satu daripada 10  makanan sihat antarabangsa.

Kelebihan makanan kegemaran semua etnik di negara ini, menurut majalah itu,  terletak pada keenakannya.

Artikel terbabit menyifatkan nasi lemak, yang kini menembusi restoran dan hotel lima bintang, termasuk di kota ternama antarabangsa, sebagai begitu sedap.

Menurut majalah itu lagi, sambal yang disertakan dengan makanan kegemaran rakyat Malaysia itu, juga mencergaskan metabolisme.

Makanan asal Mesir, Jepun , India, Ireland, Costa Rica, Iceland, Vietnam dan Turki turut tersenarai sebagai makanan sihat antarabangsa.

Namun begitu, nasi lemak asalnya bukanlah makanan sarapan harian wajib masyarakat Malaysia pada umumnya.

Malah, ia menjadi makanan khazanah negara yang dibanggakan, turut menjadi kegemaran rakyat di Brunei, Singapura dan Indonesia.

Dalam buku bertajuk The Circumstance of Malay Life, seorang pegawai tinggi British, Sir RO Winstedt pernah menulis mengenai nasi lemak pada 1909.  

Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan ikan bilis, telur, timun, kacang goreng, dan sambal.  Kini nasi lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk seperti daging, ayam, sotong, limpa, udang, dan hati lembu.

Makanan menyerupai nasi lemak di Jakarta, Indonesia ialah nasi uduk, manakala di Acheh ialah nasi gurih.

Nasi lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas  dengan harga yang murah menyebabkan makanan itu menjadi fenomena.

Biasanya harga nasi lemak dijual antara RM2 sehingga RM10 sebungkus bergantung kepada kandungan dan tempat jualan.

Pada 2011, timbul cadangan agar nasi lemak dihadkan jualannya pada dua kali seminggu.

Cadangan penyenaraian 70 jenis makanan dan larangan 15 jenis makanan itu oleh Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan sebagai satu usaha kementerian menangani masalah obesiti dan diabetes dalam kalangan rakyat, terutama kanak-kanak.

Nasi lemak juga dihidangkan di hotel dan restoran mewah di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan di Asia Tenggara.

Nasi lemak juga dijadikan menu utama di dalam penerbangan MAS dan AirAsia. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru