BRUSSELS: Dua letupan menggegarkan lapangan terbang dan sistem metro Brussels pada pukul 8 pagi waktu tempatan mengakibatkan sekurang-kurangnya 32 orang terkorban, dan 80 lagi cedera.
Penumpang dan orang ramai menggambarkan keadaan seperti dalam perang dengan bumbung runtuh, serta darah dilihat di kawasan terbabit.
“Kami berjalan dalam runtuhan. Ia seperti dalam perang,” kata seroang penumpang.
USA Today memetik Stesen TV Belgian RTBF, melaporkan, ada daripada mereka yang cedera, tidak sedar. Memetik pihak bomba, ia berkata, maklumat awal sekurang-kurang 32 terkorban, dan setidak-tidaknya 35 lagi cedera.
Namun, angka ini belum disahkan pihak polis atau kerajaan.
Pihak berkuasa mengarahkan lapangan terbang dan pengangkutan kereta api segera ditutup, dan orang ramai dinasihati tidak mendekati lapangan terbang itu.
Perkhidmatan kereta api laju Eurostar dari dan ke Brussels digantung, menurut akaun Twitter rasmi agensi pengangkutan.
Letupan berlaku di kawasan pelepasan lapangan terbang berkenaan, dan sejam kemudian, satu lagi ledakan berlaku di stesen metro Maalbeek, tidak jauh dari institusi Kesatuan Eropah (EU).
Kejadian itu berlaku pada waktu puncak, dengan kanak-kanak kedengaran menjerit dan menangis.
Suasana panik berlaku apabila orang ramai di kawasan itu bertempiaran, cuba menyelamatkan diri.
Punca kejadian masih belum dikenal pasti, tetapi susulan kejadian menggemparkan itu, kerajaan Belgium telah menaikkan tahap ancaman pengganas ke aras lebih tinggi.
Menurut agensi berita Belga, tembakan dilepaskan dan laungan dalam bahasa Arab kedengaran sebelum ledakan. Ada yang mendakwa ia merupakan satu serangan berani mati.
Berdasarkan gambar dan visual dalam media sosial yang tersebar dengan pantas, keadaan panik berlaku, dengan orang ramai cuba keluar dari bangunan lapangan terbang. Juga, asap berkepul, dengan bagasi bersepahan.
Sekitar 230 orang tentera dikejarkan ke kota berkenaan bagi meningkatkan kawalan keselamatan, dalam serangan yang dianggap, diselaraskan.