MARUDI: Siapa calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi terus menjadi teka-teki apabila nama yang telah dipilih hanya akan diumumkan esok.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau akan membuat pengumuman tersebut pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di sini.

” Tiada sebarang calon Pilihan Raya Negeri Ke-11 akan diumumkan hari ini,” katanya sambil berseloroh di hadapan 10 ribu penduduk di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) di Padang Majlis Daerah Beluru, petang tadi.

Dua nama yang bertembung dan berebut untuk menjadi wakil BN di kerusi tersebut ialah penyandang, yang kini Setiausaha Agung Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Datuk Sylvester Entri Muran dan calon Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Datu Dr Pengguang Manggil, yang juga bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Komuniti dan Kerajaan Tempatan.

Berikutan krisis yang berlanjutan di antara kedua-dua parti tersebut, parti SPDP kini berusaha untuk menyingkirkan Entri Muran, atas alasan parti yang diwakilinya bukan sebahagian daripada parti komponen BN.

beluru adenan 3 beluru adenan 2

Pada PRN 2011, Entri Muran memperoleh majoriti 3,202 setelah mengutip 4,578 undi untuk mengetepi 3 pencabar lain dari PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon bebas.

Berikutan itu, Adenan akan melaksanakan formula ” Calon Langsung BN” di kerusi tersebut esok.

Dalam ucapannya, Adenan berkata, lebih RM3 bilion peruntukan sudah disalurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui 50 siri lawatannya ke Sarawak sepanjang enam tahun lalu.

” Dengan peruntukan sebesar itu, dan juga komitmen yang ditunjuk Najib, sudah sewajarnya kepemimpinan beliau terus disokong untuk menerajui pentadbiran negara.

” Itu belum lagi komitmen beliau untuk memastikan Lebuh Raya Pan Borneo yang bernilai RM16 bilion siap sepenuhnya,” katanya.

Dalam ucapannya, Adenan turut menyentuh tentang keputusan kerajaan negeri untuk menurunkan cukai pintu di negeri ini, berkuat kuasa hujung bulan ini.

” Kadar baharu itu akan diumumkan selepas mesyuarat Kabinet negeri, 31 Mac nanti.

Katanya, beliau berazam untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat negeri ini dan menawarkan suasana penghidupan yang lebih baik.

” Memang sukar untuk kita menghapuskan terus cukai-cukai itu, namun kita masih boleh mengurangkannya kepada kadar yang lebih munasabah dan tidak membebankan,” katanya. – SARAWAKVOICE.COM