Sunday, January 23, 2022

Pensyarah kontroversi disekat memasuki Sarawak, dakwa dilayan seperti pengganas di Singapura

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli akademik, pendakwah  dan kolumnis akhbar kontroversi Profesor Ridhuan Tee Abdullah mendakwa dilayan seperti pengganas oleh pihak Imigresen Singapura  di Woodland ketika cuba memasuki negara itu untuk urusan peribadi,  baru-baru ini.

Pensyarah sebuah universiti awam itu tidak dibenarkan memasuki negara itu, tanpa alasan diberi.

Baru-baru ini, beliau bersama-sama rakannya  pergi ke Singapura menggunakan jalan darat atas urusan peribadi.

Sampai di Imigresen Woodland, Ridhuan berkata dia  diminta turun.

Ridhuan yang menulis dalam kolum mingguannya dalam Sinar Harian hari ini berkata: “Pemeriksaan dilakukan. Saya dilayan seperti pengganas. Gambar dan cap jari saya diambil. Setelah lebih dua jam bersoal jawab, datang surat mengatakan, saya tidak dibenarkan masuk ke sana.”

Dipercayai hal ini ada kaitan   dengan komennya terhadap ultra kiasu dalam tulisan dan kolumnya selama ini.

Penulisan Ridhuan dikatakan  banyak mengkritik etnik Cina dan bukan Islam di negara ini.  Tetapi selepas memeluk agama Islam, dia dikatakan telah banyak mengkritik bukan Melayu dan bukan Islam terutama melabelkan mereka yang masih tidak mampu bertutur bahasa Melayu  sebagai ultra kiasu

“Lihatlah pakatan mereka. Saya pun diiringi sampai melepasi Tambak. Saya tidak rugi satu sen pun tidak ke Singapura. Cuma, saya hanya mahu mengingatkan betapa bahayanya ultra kiasu,” katanya.   

Profesor Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Ridhuan Tee Abdulla

Ridhuan merupakan salah seorang yang turut tidak dibenarkan memasuki Sarawak oleh kerajaan negeri pada 2014, kerana pandangannya yang dianggap ekstrem sehingga dipercayai dapat menjejaskan hubungan etnik di negeri ini.

Ridhuan  yang dijadualkan memberi ceramah agama di Lundu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,  atas  arahan Ketua Menteri.

Lundu merupakan sebahagian kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu yang diwakili Adenan.

Beberapa pihak telah menyatakan pandangan mereka di laman sosial untuk menghalang ahli akademik itu memasuki Sarawak.

Sebelum ini, Sarawak menyekat kemasukan beberapa pemimpin pembangkang atas alasan mengelakkan ketegangan agama dan etnik.

Adenan pernah berkata akan menghalang mana-mana pihak pentaksub agama, rasis dan pembuat kacau daripada memasuki Sarawak.  

Adenan juga berkata bahawa kerajaan negeri mempunyai senarai nama mereka yang disekat memasuki Sarawak.

Ridhuan  kecewa dengan tindakan drastik kerajaan negeri itu, dan dalam satu tulisan menyifatkan  tindakan  itu sebagai terburu-buru.

Mengulas  lanjut perkara itu dalam tulisan berkenaan, Ridhuan yang pernah memberi ceramah agama di Sarawak sebelum itu, berkata: “Apa yang pasti kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak,” katanya.

“Setiap kali saya ke Sarawak saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian dalam Islam,” tambahnya.

Namun bagi beliau, “ibarat pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak nak, saya pun tak ingin. Tetapi tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik ekstrem di Semenanjung.” – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru