Lim Guan Eng: ‘Banglo saya kecil, tiada kolam renang…’

‘Banglo saya adalah rumah lama, berusia 30 tahun dan tidak mempunyai kolam renang…tidak juga seperti mansion Khir Toyo’.

Itu adalah antara beberapa kenyataan Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu YB Lim Guan Eng (LGE) dalam mempertahankan dirinya daripada twerjebak dalam kontroversi pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Taman Manggis, Pulau Pinang.

Pada minggu lalu, isu banglo yang dibeli oleh LGE pada harga RM2.8 juta pada 25 Oktober 2015 dan berkeluasan  10,161 kaki persegi menjadi isu hangat di Parlimen apabila dibangkitkan oleh Datuk Shabudin Yahaya. Mengikut Ahli Parlimen (BN) Tasek Gelugor itu, harga pasaran bagi banglo tersebut adalah sekitar RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Shabudin meminta SPRM membuka kertas siasatan terhadap YB LGE kerana diskaun yang diberikan oleh si penjual agak besar. Dan ada disebut bahawa si penjual banglo itu juga terlibat dengan pembangunan projek pembinaan hospital dan hotel di kawasan berhampiran dengan perumahan Taman Manggis, di mana dahulunya dirancang untuk mendirikan perumahan rakyat termiskin. Beliau mempersoalkan bagaimana LGE boleh memberi kelulusan kepada syarikat yang bercadang membina hotel berkenaan.

Pemimpin politik merupakan golongan yang paling banyak menerima tuduhan melakukan rasuah. Kekuasaan dan kegilaan terhadap kemewahan menjadikan mereka lupa tentang amanah yang diberikan. Ramai antara mereka yang dapat dibuktikan mengamalkan rasuah akhirnya meringkuk di dalam penjara.

Namun begitu, terdapat juga kes isu rasuah digunakan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin politik dan dalam masa yang mempopularkan nama mereka yang membuat pendedahan orang lain mengamalkan rasuah.

Malaysia mempunyai ramai pemimpin politik yang popular kerana sentiasa ke hadapan dalam mendedahkan skandal salah laku rasuah.  Antaranya YB Rafizi Ramli (PKR) dan YB Tony Pua (DAP).

Oleh kerana isu rasuah bersifat seperti dua wajah, maka kita seharusnya amat peka tentang ‘wajah’ mana yang mahu ditonjolkan dalam setiap kes rasuah. Dalam kontroversi terbaharu ini, Rafizi Ramli dan Tony Pua tidak pula bercakap mahu membuat jerayawara atau ‘roadshow’ atau membawanya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Rasuah tidak semesti bermaksud  si pelakunya menerima suapan wang ringgit. Mengikut tafsiran pihak SPRM, menggunakan kedudukan atau jawatan yang disandang dalam urusan peribadi seperti menerima hadiah dan menerima tawaran harga rendah apabila membeli barangan dan perkhidmatan termasuk dalam kategori menerima rasuah.

Mantan Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo pernah berhadapan dengan isu yang sama seperti  dihadapi LGE sekarang, iaitu membeli tanah dan rumah di bawah harga pasaran.  Dr. Khir Toyo  dihukum bersalah oleh mahkamah dan kini sedang meringkuk di Penjara Kajang.

Menyedari masyarakat akan menyamakan isu ini sama seperti Dr. Khir Toyo, LGE dan media propembangkang seperti Malaysiakini cuba membuat ‘spin’ dengan menonjolkan istilah seperti ‘lama, tidak ada kolam renang, kecil dan tidak mewah seperti mansion Dr. Khir Toyo’!

Dengan mengeluarkan kenyataan sebegitu, LGE dan media propembangkang seolah-olah mengatakan bahawa, ‘kesilapan saya kecil sahaja, jadi saya tidak bersalah’. LGE mungkin lupa atau buat-buat lupa, bukan saiz rumah atau usia rumah yang jadi isunya di sini.

Isunya ialah ‘sekiranya kamu bukan Ketua Menteri, adakah kamu akan diberikan diskaun sebesar itu’? – SARAWAKVOICE.COM