Pengawal keselamatan terkejut jumpa tengkorak dan tulang manusia di dalam semak

KUCHING: Seorang pengawal keselamatan yang tengah menebas rumput terkejut apabila menemui tengkorak dan tulang manusia dalam semak di kawasan kilang di Lorong Pangkalan Bintawa di sini, semalam.

Namun, laporan polis mengenai penemuan itu hanya dibuat di Balai Polis Bintawa di sini, kira-kira jam 8 pagi, tadi.

Menurut sumber, pengawal keselamatan menemui tengkorak itu ketika menebas rumput di kawasan semak di sekitar kilang, pada jam 5.40 petang, semalam.

Katanya, polis pergi ke lokasi penemuan dan mendapati satu tengkorak ditemui di kawasan semak tidak jauh dari pondok pengawal.

“Turut ditemui berhampiran tengkorak ialah sehelai baju, seluar panjang, sepasang kasut getah, kunci yang berkarat dalam poket seluar dan sebuah telefon bimbit yang sudah rosak.

“Pemeriksaan mendapati tiada kesan tikaman dan koyakan pada pakaian yang ditemui atau kesan darah,” katanya.

Katanya, berdasarkan keadaan tengkorak, ia dipercayai sudah berada di kawasan itu lebih dari enam bulan.

“Tengkorak itu dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata ketika ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan kimia diketahui. – SARAWAKVOICE.COM