SARIKEI: Siapa yang bakal mewakili Barisan Nasional di Dewan Undangan Negeri kawasan Pakan?

Apakah persoalan ini bakal terjawab  Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di Pekan Pakan, jam 10.30 pagi ini?

Apakah muslihat Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing menganjurkan program itu di kubu pesainganya, Tan Sri William Mawan? Apakah ia berniat untuk mengubur terus populariti Mawan?

Yang jelas, seperti kerusi-kerusi penuh kontroversi lain, Adenan akan menunggu hingga saat-saat akhir untuk melakukan pengumuman.

Pakan yang terletak di Nanga Wak merupakan pekan kecil di Bahagian Sarikei yang memiliki keluasan 153.8 km persegi.

Dengan populasi sekitar 32, 300 orang, 90 peratus penduduk di sini berketurunan Iban. Masyarakat Cina sekitar 8 peratus manakala masyarakat Melayu-Melanau membentuk majoriti kecil sekitar 1.1 peratus.

DUN Pakan sebelum ini dimenangi oleh Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Tan Sri William Mawan Ikon atas tiket SPDP dengan majoriti 1,197 undi.

Beliau menewaskan calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Jamal Abdullah @ Tedong Gunda yang mengutip 2,741 undi.

Pada pilihan raya kali ini, Mawan dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya.

Sebaliknya beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok akan memberi tumpuan kepada kawasan Parlimennya selain menunggu penugasan yang lebih penting di peringkat Pusat.

Untuk tujuan itu, Mawan aktif mempromosikan anaknya, Jakson Mawan atau dikenali sebagai Igat sebagai menggantikan tempatnya.

Igat, yang juga Pengerusi Teras Cawangan Pakan telah bergerak di lapangan dan bergaul dengan pemimpin masyarakat  dan rakyat di kawasan itu agak lama.

Malah beliau sering menggantikan bapanya dalam beberapa majlis, ketika Menteri Pembangunan Sosial itu sibuk dengan pelbagai urusan rasmi.

Pesaing Teras, SPDP bagaimanapun tidak mahu memberi ruang mudah untuk parti itu meletakkan calonnya.

Sumber dalaman parti itu berkata, dua nama telah dikemukakan sebagai calon di kerusi yang secara tradisinya milik parti itu.

Dr Jawie Jinggut dikatakan menjadi calon pilihan SPDP kawasan itu kerana pengalaman dan popularitinya yang agak meluas.

Pada masa yang sama, nama pesaing Mawan pada PRN lalu,
Tedong Chakaw Gunda turut berkumandang sebagai calon berpotensi SPDP.

Beliau dikatakan telah menyusun strategi dan program sejak PRN lalu bagi menambat hati pengundi, justeru dikatakan “hangat” untuk diangkat sebagai calon.

Bagaimanapun, pemerhati politik tempatan meramalkan, Adenan akan menyimpan sehingga saat akhir untuk jawapan kepada persoalan ini, memandangkan kerusi ini adalah salah satu daripada ” Pasukan Adenan” yang akan menggunakan label ” calon langsung BN”. Ini untuk menggelakkan yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. – SARAWAKVOICE.COM