KUALA LUMPUR – Sehingga 31 Disember tahun lepas, kira-kira 600,000 peserta  menyertai 6,547 program latihan dan kesedaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di seluruh negara, kata Kementerian Kewangan.

Selain itu, kerajaan turut membelanjakan hampir RM300 juta untuk pelaksanaan GST yang membabitkan pemberian geran latihan GST, perisian perakaunan patuh GST kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembangunan sistem MyGST.

Daripada jumlah itu,  tambah kementerian itu lagi, sebanyak RM98 juta untuk pembangunan sistem pengkomputeran MyGST  bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sebanyak RM94 juta bagi subsidi pembelian perisian perakaunan patuh GST yang diuruskan oleh SME Corporation Malaysia.

“Kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM52.8 juta bagi pemberian geran latihan termasuk taklimat/seminar, program bimbingan dan pemberian geran latihan kepada persatuan/badan bukan kerajaan,’ demikian menurut kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) yang diedarkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abd Khalid ingin tahu mengenai GST dan kos operasi yang terlibat.

“Selain itu, sebanyak RM38 juta telah dibelanjakan bagi program publisiti meliputi pelbagai saluran media dan kempen kesedaran GST,” kata kenyataan itu.