Keputusan penting tentang tarikh 22 Julai bakal ditentukan. Betulkah Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963? Ketua Menteri bakal mengisytiharkan tarikh itu hari kemerdekaan atau tidak pada hujung bulan ini. Pada tahun lepas beliau berjanji untuk mengumumkannya pada akhir tahun. Tetapi, isu sepenting itu tentu tidak boleh diputuskan dalam waktu singkat. Segala faktor perlu diambil kira, termasuk kesahihan fakta dan bukti sejarah.

Semalam, heboh seketika apabila tersebar melalui media sosial, bahawa kerajaan Sarawak sudah bersetuju dengan pengisytiharan itu, tetapi kemudiannya dinafikan Pejabat Ketua Menteri. Hakikatnya, ini keputusan yang besar dan membawa implikasi besar dan mendalam. Perlu dikaji secara mendalam dan menyeluruh, sama ada betul 22 Julai Sarawak mendapat kemerdekaan. Memang, semua pemimpin politik Sarawak pasti bersetuju dengan Ketua Menteri, setidak-tidaknya secara terbuka melalui media. Apakah asas perkiraan mereka? Adakah kerana  cadangan itu datang daripada Ketua Menteri?

Namun, sekurang-kurangnya dua orang  sejarawan dan ahli  akademik terkemuka  berpendapat 22 Julai 1963  bukan tarikh kemerdekaan seperti diandaikan ramai orang.

Pada tahun lalu, Prof Michael Leigh, yang terkenal dengan kajiannya tentang politik Sarawak, The Rising Moon, dan telah mulai menyelidik sejarah dan politik Sarawak sejak 1962, mendedahkan bahawa tarikh tersebut adalah hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk.

Leigh yang pernah  menjadi pengarah  pertama Institut Kajian Asia Timur, Universiti Malaysia Sarawak (1997-2003) menyatakan pendapat yang mengatakan, Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963 adalah tidak tepat.

Penyelidik   dan penulis buku ‘Mapping the Peoples of Sarawak’, ‘Transformations in Eastern Malaysia’, ‘Council Negeri Sarawak’, ‘Malaysia’s Oldest Legislature’ berkata tarikh tersebut merupakan hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk, dan bukan hari kemerdekaan.

“Sarawak diberi hak mentadbir sendiri pada 31 Ogos 1963, dan mentadbir sendiri hingga 16 September (1963). Ia  berdasarkan hakikat gabenor British  setuju untuk menerima nasihat kabinet Sarawak yang dibentuk pada Julai (1963).

Namun, kata profesor sejarah politik itu lagi,  gabenor British masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963.

“Bagaimanapun, mulai 31 Ogos hingga 16 September (1963), dia (gabenor British) berkata dia akan akur dengan keputusan kabinet Sarawak,” katanya.

Beliau banyak menggunakan dokumen di Australia dan London untuk penyelidikannya, termasuk fail yang baru dibuka. Sesiapa yang hendak menyelidik sejarah Sarawak, bukan hanya perlu bergantung kepada sumber tempatan, tetapi dokumen yang kini disimpan di arkib di London.

Mengulas pendapat  pelbagai pihak, termasuk Ketua Menteri yang mengiktiraf 22 Julai 1963 sebagai tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak, Leigh  secara bergurau  dipetik sebagai berkata: “I am all in support of public holidays. Public holiday is a good idea.”

Bagi beliau mungkin ada sumber dokumen lain, namun beliau tidak menemui sumber dokumen yang menyatakan kemerdekaan sebenarnya diperoleh sebelum 16 September.

Katanya:“Mungkin ada sumber dokumen lain. Saya cuma tidak menemui sumber dokumen yang menyatakan kemerdekaan sebenarnya diperoleh sebelum 16 September.”

Sebagai penuntut sejarah kita diingatkan agar setia dan bergantung kepada sumber.  Sebarang pendapat tidak berdasarkan bukti adalah omong kosong dalam sejarah.   Jadi, buktikan dahulu di mana sumber sahih yang mengatakan bahawa memang tarikh tersebut Sarawak merdeka.

Setakat ini memang tidak ada sumber dan bukti yang mengesahkan, kemerdekaan Sarawak dicapai sebelum 16 September. Hakikatnya, 22 Julai pasti tidak ada jika tidak ada 16 September 1963. Maksudnya, 22 Julai diberi kerana sebagai persediaan kemerdekaan 16 September, atau sebenarnya 31 Ogos, jika ikut perancangan asal.

Prof Leigh menegaskan, Sarawak sebenarnya tidak memperoleh kemerdekaan pada tarikh tersebut.

Kata beliau dalam bahasa Inggeris:  “It (Sarawak) was self-governed, not independent. Singapore was a self-government from 1959 to 1963, and it became independent between Aug 31 and Sept 16; then (independent) again in August 1965.”

Prof Leigh yang kerap ke Sarawak dalam tempoh 50 tahun lalu tidak menafikan bahawa Sarawak pernah dijajah, sehinggalah ia mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada 1963.  Kewibawaan Prof Leigh memang tidak dapat diragui.

Selain sebagai pakar sejarah politik Sarawak yang telah menelaah beribu-ribu helai dokumen dan halaman akhbar, beliau juga pernah dilantik sebagai profesor Asia Kotemporari, dan pengarah Institut Asia, University of Melbourne. Selain itu, Prof Leigh, juga pernah menjadi profesor di University of Sydney, dan pengarah akademik di  Kolej Antarabangsa, Pulau Pinang.

Sementara itu, sebelum Prof Leigh, seorang sejarawan  kelahiran Sarawak, Datu Dr Sanib Said, mempunyai pendapat yang sealiran dengan Prof Leigh. Bagi Dr Sanib, adalah satu kesilapan jika kita memikirkan 22 Julai sebagai hari kemerdekaan. Beliau dipetik pada tahun lepas sebagai berkata bahawa terdapat kesilapan fakta dan andaian mengelirukan, terutamanya akhbar dan media sosial.

“22 Julai hanyalah permulaan proses kemerdekaan. Kita mencapai kemerdekaan daripada pihak British hanya untuk beberapa jam, pada 15 September 1963, apabila Gabernor Kolonial Sir Alexander Waddell berlepas ke Britain,” kata Sanib.

Seyogia diingatkan, bagaimanakah kita boleh katakan kita sudah merdeka pada tarikh tersebut jika gabenor masih berada di Astana pada pagi 15 September? Bagaimanakah kita  begitu yakin menyatakan kita sudah merdeka apabila Gabenor tempatan pertama Datuk Aabang Haji Openg hanya diisytiharkan sebagai Gabenor, selepas itu?

Sebenarnya, kita hanya mencapai kemerdekaan melalui Malaysia pada 16 September.  Sanib yang terkenal dengan kajiannya, Malay Politics in Sarawak 1946-1966, telah banyak menjalankan penyelidikan di peringkat  ijazah pertama, sarjana dan PhD tentang sejarah Sarawak, serta banyak menerbitkan artikel ilmiah dan buku berkaitan kajiannya.

Pendapat Prof Leigh dan Dr Sanib tentu tidak berdasarkan cakap kedai kopi, tetapi kajian ilmiah yang mengutamakan fakta dan objektiviti.

Sanib berkata, 22 Julai adalah tarikh Gabenor melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak, Ahli Majlis Tertinggi turut membentuk kabinet pertama Sarawak.

Bagi sejarawan itu, Sarawak belum lagi merdeka ketika itu kerana ada kuasa yang masih dipegang gabenor dan Ratu di London.

Kata Sanib:  “Kita belum merdeka lagi kerana kuasa mutlak masih dipegang oleh gabenor penjajah dan Ratu di London.

s4s-sarawakvoice

“22 Julai menandakan proses permulaan mencapai kemerdekaan. Semua jajahan di bawah kerajaan British harus melalui proses sama bagi melatih orang tempatan untuk mentadbir negara,” katanya.

Namun, rupa-rupanya ada juga orang yang mempertikaikan pendirian dan pendapat sejarawan itu.

Bagi  Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo, beliau menyanggah Datu Dr Sanib Said yang pernah menjadi Pengarah Muzium Sarawak dan pengarah Institut Kajian Asia Timur di Universiti Malaysia Sarawak. Kata beliau seperti dipetik akhbar  tahun lepas, “Dengan penuh rasa hormat, pandangan itu amat kabur. Kita cuma perlu melihat terhadap Australia, sehingga kini, Gabenor Agungnya masih merupakan wakil bagi Ratu di London.

“Sarawak ialah wilayah merdeka pada 22 Julai 1963 memandangkan Australia wilayah merdeka pada hari ini. Dan Australia bukan satu contoh tunggal. Lihat negara-negara Komanwel yang lain,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurut  Lo,  fakta menyatakan kuasa simbolik kekal dengan gabenor penjajah tidak menjejaskan simbol yang lebih bermakna apabila bendera penjajah diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan dan Sarawak memilik kerajaan dan Ketua Menteri sendiri pada 22 Julai 1963.

Seorang menteri kabinet Sarawak,  Dr James Jemut Masing  percaya bahawa Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963.  Masing, seorang yang dilatih dalam bidang antropologi, dan bukan sejarah di peringkat PhD, berkata Stephen Kalong Ningkan mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 22 Julai 1963, selepas proses pilihan raya yang diadakan pada Jun dan Julai 1963, dan kemudiannya kabinet telah dibentuk.   

Hujah Masing, seperti dipetik The Borneo Post, “Does self rule mean the beginning of a country’s independence? Yes. So from July 22, 1963, Sarawak was on its own as a self governing entity.”

Di peringkat dunia, sebenarnya dunia ini dikategorikan antara negara yang meraikan hari kemerdekaan, dan negara yang meraikan hari kesatuan nasional atau hari revolusi.

Negara Paling Banyak Cuti Umum

Ketua Menteri  berjanji untuk mengkaji dan membincangkan lebih lanjut isu berkaitan. Kalau kita mengisytiharkan 22 Julai sebagai hari kemerdekaan, Sarawak mungkin satu-satunya negeri (negara?) di dunia yang meraikan tiga tarikh berkaitan kemerdekaan

Pertama, 22 Julai yang didakwa hari kemerdekaan Sarawak daripada cengkaman British, 31 Ogos, Hari Kebangsaan, ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, dan akhirnya 16 September, hari kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia.

Sesungguhnya, siapa yang tidak mahu cuti umum? Semua orang mahu cuti umum. Untuk tahun ini pun, mengikut kalendar, Sarawak punya 18 cuti umum.

Ya, siapa kata tambahkan cuti umum itu salah? Ya, siapa kata isytiharkan satu lagi tarikh kemerdekaan itu salah? Bukankah kita suka meraikan banyak tarikh dan bercuti?  Berdasarkan kajian pun lebih 70 peratus rakyat Sarawak mahu tarikh tersebut diisytiharkan sebagai hari kemerdekaan dan hari cuti.

Sekurang-kurang kita dapat ingat balik tarikh itu. Tetapi adakah itu tindakan yang tepat? Segala keputusan perlu diambil berasaskan fakta, bukti, dan kepentingan seluruh rakyat dalam konteks sebuah negara bangsa, bukannya kerana kita hendak satu lagi cuti umum.

Mari kita bercuti lagi. La, la, la la…