Monday, August 8, 2022

Peminat filem di Sarawak lonjakkan kutipan Munafik RM15.4 juta

Secara Rawak

KUCHING:  Datuk Yusof Haslam berkata, permintaan tinggi terutama daripada para penonton di Sarawak dan juga Sabah, telah membolehkan filem seram Munafik yang mula ditayangkan 25 Februari lalu bertahan di pawagam.

Filem arahan Shamsul Yusof  itu berjaya mencatat kutipan RM15.4 juta sepanjang tiga minggu ditayangkan di pawagam, mengikut BH Online.

Penerbit filem itu berkata, daripada 90 pawagam menjadi 112 dan pada minggu kedua, dan terus meningkat kepada 117 pawagam.

“Pada minggu ketiga ini, ada beberapa pawagam bebas di Sabah dan Sarawak turut membuat permintaan, menjadikannya 120 pawagam sehingga kini,” katanya.

Beliau bersyukur kerana sambutan penonton terhadap filem Munafik sangat luar biasa.

“Buat masa ini, kami sudah melakukan beberapa kali penambahan terhadap jumlah pawagam. Pada asalnya, hanya 90 panggung dipohon ketika kami membuat permohonan tayangan kepada Finas,” tambahnya.

Yusof berkata  beliau yakin kutipan akan mencecah RM16 juta di Malaysia sahaja.

“Kami turut mendapat maklum balas sangat baik daripada penonton di Singapura dan Brunei yang menyukai pendekatan Islamik diterapkan menerusi filem ini.

“Setakat ini, kutipan kasar diterima daripada dua negara itu mencecah RM1.4 juta, menjadikan kutipan keseluruhan RM15.4 juta bagi 21 hari tayangan,” katanya.

Munafik merupakan filem ke-39 terbitan Skop,  menampilkan bintang seperti Syamsul Yusof, Nabila Huda, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, Dato Rahim Razali, A.Galak, Zarina Zainordin, Ruzlan Abdullah.

Menurut myinfotaip, filem itu mengisahkan Adam (Syamsul Yusof) yang dikenali sebagai seorang ustaz yang dikurniakan ‘kelebihan’ kerana setiap pesakit yang mengalami ‘gangguan’ sering berjaya diubatinya mengikut cara perubatan Islam.

Sikap merendah diri terhadap kelebihan yang ada pada dirinya itu amat disenangi semua yang mengenali, terutamanya penduduk kampung di kawasan yang dia diami.

Kebahagiaan yang dikecapi Adam bersama isteri dan anaknya tidak bertahan lama selepas dia dan isterinya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang ngeri. Isterinya meninggal dunia di tempat tragedi. Kematian isterinya, Zulaikha itu membunuh semua rasa dan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tanggungjawab sebagai pengamal perubatan Islam yang sering mengubati orang-orang kampung.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru