Friday, December 3, 2021

Pegawai keselamatan dari Kedah bawa 20 butir peluru ditahan di Lapangan Terbang Sibu

Secara Rawak

SIBU: Hasrat seorang pegawai pasukan keselamatan untuk pulang bercuti ke kampungnya di Kedah terbantut apabila dia ditahan kerana membawa 20 butir peluru hidup di Lapangan Terbang Sibu dekat sini, semalam.

Perkara itu diketahui apabila pegawai berusia 25 tahun itu membuat imbasan beg di balai berlepas lapangan terbang, pada jam 2.30 petang.

Menurut sumber, pegawai terbabit ingin pulang ke kampungnya di Kedah dan mengambil penerbangan dari Sibu ke Kuala Lumpur.

Katanya, polis lapangan terbang melihat ada imej seakan peluru dalam beg pegawai terbabit dan mengarahkannya membuka beg untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan menemui satu kotak yang mengandungi 20 peluru hidup M16 (5.56mm). Laporan polis dibuat di Balai Polis Sibu Jaya untuk tindakan lanjut.

“Pegawai terbabit ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis sebaik keterangannya diambil,” katanya.

Sumber itu berkata, berdasarkan keterangan pegawai itu, dia menjalani latihan tembak di bandar ini pertengahan Februari lalu dan mendakwa terambil satu kotak mengandungi 20 butir peluru.

“Dia mendakwa menyimpan kotak itu dalam beg untuk dipulangkan tetapi terlupa dan membawa beg terbabit ke lapangan terbang,” katanya.

Kes itu disiasat, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru