Friday, December 3, 2021

Seorang warga Indonesia maut, 2 parah dalam pergaduhan

Secara Rawak

MARUDI: Seorang lelaki  warganegara Indonesia maut, manakala dua rakannya parah dipercayai terbabit dalam pergaduhan di kuaters pekerja sebuah syarikat ladang di Belaga, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam  5.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 40-an disahkan mati ketika dalam perjalanan ke klinik Sungai Asap untuk rawatan

Ketua Polis Daerah Marudi Deputi Superintendan Gabriel Risut berkata, dua lelaki  lain berusia 40-an berkenaan kini sedang mendapat rawatan di Hospital Bintulu.

Katanya, ketiga-tiga mangsa ditemui oleh seorang pekerja syarikat dalam keadaaan berlumuran darah di sebuah bilik.

“Setibanya anggota polis ke lokasi, kesan darah sudah dicuci oleh pihak tertentu, bagaimanapun, polis menjumpai beberapa percikan darah di cermin dan belakang pintu rumah berkenaan.

“Polis turut menjumpai pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, polis akan mengambil keterangan dua rakan mangsa untuk mengetahui perkara sebenar yang berlaku.

“Setakat ini, polis sudah merakam 15 saksi kejadian itu, bagaimanapun, punca sebenar kejadian itu masih belum diketahui,” katanya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru