Friday, October 7, 2022

2 kerusi untuk SUPP, 2 kerusi untuk UPP di Sibu

Secara Rawak

SIBU:  Ketua Menteri sudah mempunyai formula bagi merungkaikan kemelut yang membelenggu dua parti mewakili kaum Cina.  

Jalan penyelesaiannya sekurang-kurangnya untuk dua kerusi di Sibu adalah dengan mengagihkan empat kerusi terbabit sama rata antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan Parti Rakyat Bersatu (UPP), tetapi sama ada SUPP menerimanya dengan hati terbuka, adalah satu isu lain.

Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian  secara konsisten untuk sekian lama bertegas tidak mahu berganjak daripada pendirian dengan tetap mempertahankan kerusi terbabit yang secara tradisi adalah miliknya.

Parti tertua itu mempunyai 19 kerusi dan tewas di 13 kerusi kepada pembangkang dalam pilihan raya 2011. DAP menguasai 12 kerusi, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi satu kerusi — Batu Lintang di Kuching.

Semalam Tan Sri Adenan Satem selepas pertemuan tertutup dengan sekitar 4,000 pengundi Bumiputera di Dudong, berkata calon langsung Barisan Nasional  (BN) akan dikemukakan di Dudong dan Bawang Assan di bawah tiket UPP.

Calon langsung merupakan satu kaedah untuk memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru sehingga menguntungkan DAP dan parti pembangkang lain ekoran kemelut yang berpanjangan membabitkan SUPP dan UPP. Namun, masih ada keraguan, tidak akan berlaku sabotaj-mensabotaj di pihak kedua-dua parti, kerana luka amat dalam yang dialami, susulan krisis yang berlarutan.

Usaha Pengerusi BN Negeri itu bersemuka dengan pengundi Bumiputera menggambarkan bagaimana mereka dapat mempengaruhi keputusan dalam pilihan raya yang dijangka diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14 Mei ini.

“Meskipun Bumiputera bukan majoriti, mereka bakal menentukan siapa akan menang, walaupun terdapat pertandingan dua atau tiga penjuru. BN dapat memenangi kerusi berkenaan jika mereka bersatu,” kata Adenan.

Dua lagi kerusi, Bukit Assek dan Pelawan, kedua-duanya kini dikuasai DAP, akan diserahkan kepada SUPP, namun berbeza daripada amalan di majlis lain, beliau tidak menamakan calon, dan ini sekali lagi menyemarakkan spekulasi siapa yang mewakili parti berkenaan.

Namun, sumber akar umbi memberitahu SarawakVoice, Dudong bakal diwakili Datuk Tiong Thai Kong, Chieng Buong Toon di Bukit Assek, dan Wong Soon Koh, presiden UPP di Bawang Assan.

Jika kedua-dua parti itu akur kepada agihan dan kata-kata nasihat pengerusi BN Sarawak itu, pemerhati menganggap ada sedikit peluang untuk memenangi Dudong dan Bawang Assan, tetapi dalam apa-apa keadaan Bukit Assek, yang menjadi kubu kuat DAP, dianggap sukar dirobohkan.

Justeru, Adenan menasihati kedua-dua parti untuk bekerjasama bagi memastikan kemenangan.

“Nasihat saya kepada kedua-dua parti adalah untuk  memastikan tidak berlaku perpecahan undi, dan mereka perlu berkerjasama seperti yang saya cadangkan kepada mereka,” kata Adenan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru