Sunday, January 23, 2022

Walikota Mukah calon BN Dun Balingian

Secara Rawak

MUKAH: Menepati ramalan portal ini, Walikota Mukah, Abdul Yakub Arbi pagi tadi dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri Balingian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 akan datang.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem sewaktu merasmikan Program Sejiwa Senada di Tapak Letak Kereta Pasar Mukah.

Turut hadir pada majlis itu, keduadua Timbalan Presiden PBB, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg. 7

Yakub, lulusan Ekonomi dari Universiti Deakin, Australia merupakan seorang usahawan sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Dalat Mukah, dan kemudian dilantik menjadi Walikota Mukah, menggantikan pesara guru, Ali Suhaili.

Beliau yang juga Pengerusi Saberkas Daerah Balingian pernah aktif dalam perniagaan, dan merupakan orang lama dalam parti.

Malam tadi, portal ini menyiarkan secara eksklusif bahawa Yakub bakal dinamakan sebagai calon berikutan kejayaannya menganjurkan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Hotel Kingwood Mukah semalam.

Malah portal ini mendedahkan cabaran yang diberikan Adenan kepada Yakub berhubung penganjuran tersebut, dengan hadiahnya adalah menjadi calon parti tersebut dalam pilihan raya negeri kali ini di Balingian.

Sebelum ini, nama Faridah Osman, exco Wanita PBB Negeri dicanangman sebagai calon untuk kerusi terbabit, bagaimanapun disebabkan bantahan dan protes daripada pelbagai peringkat kepimpinan parti di kawasan itu, namanya digugurkan.

Faridah yang telah meletakkan jawatannya sebagai kakitangan kerajaan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Pada majlis pagi tadi, Adenan turut mengumumkan Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah mempertahankan kerusi Dalat manakala penyandang kerusi DUN Balingian, Yussibnosh Balo akan berpindah ke kerusi baharu DUN Tellian. Untuk rekod, Yussibnosh merupakan anak jati Kampung Tellian Laut.

calon balingian 33-0000

Pada Pilihan Raya Kecil Balingian berikutan keputusan Tun Abdul Taib Mahmud melepaskan kerusi tersebut pada 28 Februari 2014 calon BN, Yussibnosh Balo menang ke atas calon Parti Keadilan Rakyat, Abdul Jalil Bujang dengan majoriti 6911 undi.

Sebelum itu, kerusi tersebut dimenangi Tun Taib pada pilihan raya negeri 2011 dengan majoriti 5,154 undi dengan menewaskan mantan Ahli Parlimen Mukah, Datuk Salleh Jafaruddin, yang mencatat 1,056 undi. Turut tersungkur dalam pertandingan tiga penjuru itu, calon Parti Keadilan Rakyat, Suriati Abdullah yang sekadar memperoleh 871 undi.

Sementara Datuk Fatimah Abdullah pada pilihan raya tersebut pula mengekalkan kerusi DUN Dalat dengan majoriti 4,990 undi, dengan menewaskan calon PKR, Sylvester Ajah Subah (1,298 undi) dan calon Bebas, Salleh Mahali (257 undi). – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru