Friday, December 3, 2021

Terpotong kemaluan kanak-kanak 10 tahun, polis tahan doktor

Secara Rawak

KUCHING: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpaksa dirujuk ke Hospital Umum Sarawak selepas alat kemaluannya “terpotong” lebih 2.5cm akibat kecuaian seorang doktor.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar, kejadian berlaku pada Isnin lalu di sebuah klinik di Kota Samarahan, selepas kanak-kanak itu dibawa oleh datuknya untuk berkhatan.

” Sebaik sahaja proses berkhatan itu selesai, doktor berkenaan memberitahu, kanak-kanak malang itu perlu dirujuk segera ke Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana berlaku komplikasi.

” Datuk kanak-kanak tersebut segera berbuat demikian, sebelum dimaklumkan oleh doktor yang bertugas di Unit Kecemasan dan Trauma HUS bahawa mangsa perlu menjalani satu lagi pembedahan kerana alat sulitnya mengalami pendarahan tanpa henti,” kata Dev.

Selepas proses pembedahan selesai, sekitar jam 5 petang, keluarga kanak-kanak malang itu dimaklumkan bahawa sebahagian daripada alat sulitnya telah hilang, dan dipercayai 2.5cm telah terpotong dan tidak dapat disambung.

Kesal dan marah dengan apa yang berlaku, keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis, dan doktor berkenaan telah ditahan Khamis lalu.

” Saspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil,” tambah Dev.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Difahamkan kanak-kanak terbabit masih menjalani rawatan di HUS. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru