Friday, December 2, 2022

Pejabat Ketua Menteri Sarawak nafi isytihar 22 Julai cuti umum

Secara Rawak

KUCHING: Pejabat Ketua Menteri Sarawak hari ini menafikan dakwaan sebuah portal berita tempatan serta sebuah rangkaian berita facebook yang mengatakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai hari cuti umum khas bagi Sarawak.

Menurut sumber rasmi pejabat tersebut, Ketua Menteri sebaliknya hanya mengumumkan bahawa beliau akan membincangkan agenda tersebut dalam mesyuarat kabinet akhir bulan ini, dan pernyataan rasmi akan diumumkan selepas itu.

” Portal tersebut telah tersalah lapor mengenai perkara ini,” katanya kepada sarawakvoice.com sebentar tadi.

Portal tersebut (bukan sarawakvoice.com) pada tengah hari tadi telah melaporkan satu berita dengan tajuk
“22 Julai Diistihar Cuti Umum Seluruh Sarawak”.

Ia kemudian memaklumkan Tan Sri Adenan telah mengumumkan tarikh 22 Julai sebagai tarikh cuti umum khas sebagai memperingati pejuang-pejuang Sarawak pada masa dahulu yang berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British.

Adenan dilaporkan berkata demikian semasa berucap pada Majlis Program Sejiwa Senada Mukah bertempat di Mukah pagi tadi.

Laporan tersebut kemudian menjadi viral hingga menyebabkan rakyat Sarawak ingin mendapatkan pengesahan lanjut.

Menurut penganalisis politik, Dr Jeniri Amir, sekiranya tarikh tersebut dipersetujui sebagai cuti umum, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tiga cuti umum berkaitan kemerdekaan, mungkin di dunia.

Tarikh tersebut ialah 31 Ogos 1957 sebagai sambutan kemerdekaan Malaysia,
22 Julai 1963 untuk memperingati kemerdekaan Sarawak dari penjajahan British, dan 13 September 1963, pembentukan Malaysia.

” Kajian saya pada Oktober lalu mendapati 74 peratus responden di negeri ini bersetuju untuk menerima 22 Julai 1963 diisytiharkan sebagai tarikh kemerdekaan Sarawak.

” Manakala 73 peratus responden lagi bersetuju tarikh tersebut diisytiharkan sebagai cuti umum khas negeri ini sempena sambutan tersebut.

Pada 7 November lalu, seorang penyelidik, Profesor Michael Leigh yang membuat kajian mengenai Sarawak sejak 1962 berkata, pendapat yang menyatakan Sarawak memperoleh kemerdekaan daripada British pada 22 Julai 1963 adalah tidak tepat.

Tarikh tersebut katanya, merupakan hari kabinet Sarawak atau kabinet perikatan dibentuk, dan bukan hari kemerdekaan.

“Sarawak diberi hak mentadbir sendiri pada 31 Ogos 1963, dan mentadbir hingga 16 September 1963. Ia adalah berdasarkan gabenor British yang setuju untuk menerima nasihat kabinet Sarawak yang dibentuk pada Julai 1963.

Gabenor British katanya, masih memegang kuasa penuh hingga 16 September 1963. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru