KAMI GAGAL! KAMI BERSALAH! – Penganjur Tour of Sarawak

0
1604

TERKINI: Lagi isu panas TOS esok (19/3). Rakan strategik penganjur pertimbang tindakan undang-undang, dan kekecewaan peserta tempatan berhubung pembatalan.

VIDEO EKSKLUSIF: Pengarah Tour Of Sarawak akui gagal, rugi RM600 ribu tetapi bukan penipu (Klik Sini Untuk Video)

KUCHING: “Kami memang bersalah dan kami akur dengan hukuman yang akan dijatuhkan,” itu pengakuan ikhlas Mohd Fadzli Mat Yusof, lelaki yang dikaitkan dengan kegagalan penganjuran jelajah basikal Tour of Sarawak, semalam.

Menurutnya, tindakan penaja utama dan beberapa penaja lain menarik diri pada saat-saat akhir menyebabkan mereka tenggelam punca, dan hilang sumber, seterusnya sukar untuk meneruskan perlumbaan itu.

“Malah kami telah mencuba sebaik mungkin hingga ke saat-saat akhir untuk meneruskannya, namun usaha kami itu menemui jalan buntu,” katanya yang juga merupakan Pengarah Kejohanan Tour Of Sarawak.

Kejohanan ini dianjurkan oleh syarikat Fadz Industries Sdn Bhd, yang Fadzli sendiri adalah salah seorang pengarahnya. Syarikat ini merupakan satu-satunya syarikat yang memiliki lesen Union Cycliste Internationale (UCI) 2.2 di negara ini.

tour of sarawak maaf

Selain Fadz, rakan sekutu syarikat ini termasuklah Ferry’s Empire Sdn Bhd dan NAA Resources Sdn Bhd.

Berikutan kegagalan penganjuran tersebut, syarikat ini telah disenaraihitamkan oleh Kementerian Belia dan Sukan manakala lesennya akan ditarik balik.

“Saya amat kecewa kerana insiden ini telah mencemarkan imej negara. Saya telah meminta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mengambil tindakan bersesuaian di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997,” kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Fadzli berkata, pihaknya sendiri kerugian hampir RM600 ribu dalam melakukan persediaan untuk acara tersebut.

“Kami langsung tidak menggunakan dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan sebanyak RM200 ribu.

“Malah saya menafikan kononnya kami menerima sebarang tajaan korporat dan swasta bernilai jutaan ringgit.

Itu semua katanya, adalah fitnah dan tidak benar.

“Kami bukan penipu. Kalau ada duit sebanyak itu, program ini sudah berjalan,” tegasnya.

Berkaitan isu krew teknikal yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan peserta yang terkandas di Lapangan Terbang Miri, katanya, pihaknya telah terbang ke sana dan menyelesaikan segala isu yang timbul.

“Malah dengan bantuan Kementerian Pembangunan Sosial, kami berjaya menyelesaikan isu bayaran penginapan peserta dan tidak lagi berhutang dengan mereka,” katanya.

Menurut Fadzli, beliau telah mengadakan mesyuarat dan berbincang dengan semua pengurus pasukan yang terbabit berikutan pembatalan acara itu.

“Mereka memahami dan menerimanya… malah sanggup meneruskan untuk fasa terakhir Sarikei-Kuching. Namun atas sebab-sebab tertentu, acara itu tidak dapat kita laksanakan.”

Bertanggungjawab terhadap insiden memalukan ini, Fadzli berkata pihaknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berhubung keadaan yang berlaku, dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa memberi sokongan hingga ke saat akhir.

Berdasarkan jadual, Tour Of Sarawak bermula di Miri pada Rabu lalu, sebelum berakhir di Kuching pada 20 Mac ini. – SARAWAKVOICE.COM