Dayakisme? Mana YB wanita Dayak di DUN Sarawak?

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Ketika Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak membariskan wakil rakyat wanita seperti  Fatimah Abdullah, Sharifah Hasidah dan Simoi Peri, di peringkat parlimen pula mempunyai ahli parlimen  iaitu Nancy Shukri dan Rohani  Karim, terdapat dan terasa sesuatu yang ‘kurang’ dan ‘janggal.

Yang janggal lagi pelik ialah di mana YB BN  Sarawak daripada golongan wanita Dayak khususnya Iban dan Bidayuh?

Hal ini terasa cukup  ganjil, apabila belum ada lagi wanita BN etnik Iban dan Bidayuh dilantik menjadi wakil rakyat khususnya di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak. Adakah ini menunjukkan terdapat diskriminasi gender dalam kalangan etnik Iban dan Bidayuh dalam politik pada masa kini?

Kalau begitu, pemikiran orang politik 60-an lebih hadapan lagi. Hal ini kerana  Tra Zehnde menjadi Iban pertama di Dewan Undangan negeri Sarawak yang dikenali sebagai Council Negeri pada tahun 1960 hingga tahun 1963.

Senator Sekadar Lantikan

Yang ada cuma hanya peringkat ‘lantikan’ seperti  yang berlaku terhadap  Dato Sri Empiang Jabu yang dilantik menjadi Senator atau ahli dewan Negara.  Beliau juga merupakan  Ketua Wanita PBB Sarawak.

Begitu juga  dengan Doris Sophia yang merupakan Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Naib Presiden PRS dan dilantik menjadi senator pada tahun 2010. Beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan mencipta  sejarah apabila menjadi wanita Sarawak pertama  dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Tetapi hakikatnya pelantikan jawatan senator bukanlah dipilih langsung oleh rakyat melalui peti undi!

Adakah pelantikan sebagai jawatan senator dan tidak memberikan peluang sebagai wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak dan ahli parlimen Dewan Rakyat menunjukkan persepsi terhadap wanita Iban kurang sesuai untuk bekerja sebagai wakil rakyat yang dipilih langsung oleh rakyat?

Adakah wanita bidayuh tidak sesuai menjadi wakil rakyat?

Menjadi wakil rakyat   bermakna memerlukan tenaga, masa, komitmen, daya tahan, visi dan bersedia untuk sama-sama membuktikan kemampuan dari segi kepimpinan dan memanfaatkan kuasa yang ada bagi kepentingan  rakyat. Adakah wanita Iban  dan bidayuh BN Sarawak  belum lagi dilantik kerana tidak mempunyai ciri-ciri tersebut? Jadi, apa perlunya sayap wanita jika hanya untuk meraih undi untuk golongan lelaki kalaulah ini dilihat dari segi gerakan feminisme?

Situasi ini sangat aneh kerana ketika rakyat Sarawak menempuhi  gelombang globalisasi dan berada pada abad ke-21, belum  ada lagi wanita Iban dan Bidayuh dilantik menjadi ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak atau ahli  parlimen? Tra Zehnder lantikan British. Malaysia wujud pada September 1963.

Di manakah perginya  pejuang hak-hak wanita  dalam etnik  tersebut?  Namun tidak perlu menjadi  tokoh feminis atau berjiwa feminis tinggi  di peringkat antarabangsa untuk melihat perkara asas tersebut.  

Apakah  pemimpin tertinggi etnik Iban dan Bidayuh dalam komponen BN tidak sedar perkara ini berlaku? Sampai bilakah etnik Iban dan Bidayuh ketandusan wanita sebagai calon wakil rakyat di peringkat DUN dan parlimen?

Adakah sampai mencipta rekod sejarah Sarawak ketandusan etnik Iban dan Bidayuh wanita yang tidak diletakkan sebagai calon wakil rakyat?

Kuasa Suara Adenan dan Wanita

Sudah tibalah masa Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem  melihat  perkara ini  secara lebih serius.  Sebelum ini, pada sambutan Hari Wanita di Peringkat Negeri Sarawak, Adenan  pernah berkata dan bernekad  untuk mengubah sebarang amalan perundangan yang mungkin mendiskriminasi wanita agar dapat menunaikan peranan masing-masing.

Namun dalam hal ini, tidak ada undang-undang pun menegah wanita Iban dan Bidayuh bertanding  sebagai ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.  Justeru, di manakah silapnya hal ini?

Pemimpin  lelaki  dalam kalangan Iban dan Bidayuh perlu  merenungi kata-kata  Adenan dalam sambutan Hari Wanita, kata beliau “Wanita mempunyai potensi, namun sehingga kini anda tidak dibenarkan dalam banyak perkara sehingga tidak menyedari potensi itu sejak bertahun-tahun lalu,” 

Ketua Menteri Sarawak boleh sahaja mengarah agar calon wanita BN Sarawak perlu ada wanita Iban dan Bidayuh.

Namun alangkah lebih bermakna sekiranya pemimpin Iban  dan Bidayuh sendiri membuat keputusan dan memilih beberapa calon wanita sebagai calon BN Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Adenan, mintalah buat sesuatu juga, jika  tidak ada calon wanita kalangan etnik Iban dan Bidayuh yang dicadangkan oleh pemimpin Iban dan Bidayuh.

Kini kuasa di tangan pemimpin politik untuk memutuskan ya atau tidak.  

Tidak lagi?? Harap itu bukan jawapannya. – SARAWAKVOICE.COM