Sunday, August 14, 2022

Abdul Yakub Arbi calon BN di DUN Balingian

Secara Rawak

MUKAH: Walikota Mukah, Abdul Yakub Arbi sudah hampir pasti diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian.

balingian 3Menurut sumber dalaman BN, pengumuman mengenainya akan dilakukan sendiri oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dalam ucapannya pada pagi ini sewaktu merasmikan Program Sejiwa Senada di Tapak Letak Kereta (Lama) Pasar Mukah.

” Beliau bakal dinamakan sebagai calon BN berikutan kejayaannya menghimpunkan lebih satu ribu penyokong bagi menjayakan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Hotel Kingwood dekat sini semalam,” katanya lagi.

Jelasnya, kejayaan ini ada hubung kait dengan cabaran Adenan kepada Yakub beberapa minggu lalu untuk menghimpunkan penyokong serta menganjurkan program itu (Pemimpin Bersama Rakyat) jika ingin menjadi calon.

Pada masa yang sama, Adenan turut bertanya kepada hadirin siapa yang mereka akan sokong, dan majoriti yang hadir menjerit nama Yakub.

Tidak cukup dengan itu, hampir kesemua wakil rakyat yang hadir petang tadi kelihatan bersalam dan mengucap tahniah kepada Yakub, membayangkan beliau akan menerima “khabar gembira” pada hari esok (hari ini).

Sebelum ini, dua nama yang disebut-sebut menggantikan nama Faridah Osman yang dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak ialah Yakub dan Sulaiman Sahari.

Difahamkan majoriti peserta yang hadir pada majlis tersebut ialah “orang Yakub” manakala “orang Sulaiman” tidak hadir sebagai protes.

Justeru, menjadi kebimbangan ramai berlakunya perpecahan dan wujud dua puak dalam kelompok pekerja parti serta penyokong apabila nama Yakub diumum nanti.

Untuk rekod, Yakub merupakan graduan Ekonomi dari Universiti Deakin di Australia dan merupakan usahawan berjaya sebelum dilantik sebagai Walikota Dalat Mukah, menggantikan bekas guru, Ali Suhaili.

Kerusi DUN Balingian akan diisi oleh calon baharu BN berikutan perpindahan penyandang, Yussibnosh Balo ke DUN Tellian pada pilihan raya negeri ke-11 kelak.

Balingian yang terletak 60 km dari bandar Mukah, mempunyai sekitar 8,500 pengundi dengan 70 peratus daripadanya Melanau. Sebelum berpisah dengan DUN Tellian, ia memiliki lebih 14 ribu pengundi. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru