Tuesday, June 28, 2022

Pernikahan Pas-Ikatan: Selamat pengantin baharu; semoga kekal berbahagia

Secara Rawak

Pas sebuah parti Islam yang sering bertukar pasangan. Siapa yang silap? Pas atau pasangannya? Apa masalah Pas sebenarnya? Memang, ada sesuatu yang tidak betul dengan Pas dan kepemimpinannya.

Mungkinkah blok baharu politik yang terjalin antara Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membawa kesan positif? Hakikatnya, kerjasama itu hanya mengundang kesan buruk kepada parti Islam itu sendiri.

Jika ingatan kita tidak singkat, tentu kita sedar akan hakikat betapa Pas telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai parti.

Pas sebenarnya sebuah parti yang semakin kehilangan arah. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, kita tidak tahu apa yang sebenarnya menjadi fokusnya?

Di sebalik perubahan dalam pendiriannya terhadap BN, Pas sebenarnya menghakiskan sokongan terhadap Pakatan Harapan.

Ini ialah bikinan Pas sendiri, kerana mereka sebuah parti yang keliru.

Impian Pakatan Harapan untuk menakluki Putrajaya digagalkan oleh kerjasama ini. Untuk itu, tidak hairanlah seorang menteri Umno berkata parti itu seharusnya ucapkan terima kasih kepada Pas. Ketika kedudukan BN dianggap sudah malap, perkembangan terbaharu semalam, memberi sedikit sinar kepada BN.

PAS 2“Kami tidak terima perkara negatif yang dalam kerajaan. Kita mengambil pendekatan menasihati kerajaan dengan kemuka pandangan bukan sahaja di Parlimen tetapi juga dengan cara berdepan,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambah beliau: “Kita tidak mahu pendekatan membangkang secara ekstrem yang menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang secara ekstrem bukan sahaja tidak selesaikan masalah, malah menjadikan masalah itu lebih rumit.”

Semalam, kedua-dua parti terbabit berjanji akan menggunakan pendekatan baharu dalam amalan politik di negara ini, dengan menolak budaya politik oportunis.

Selain itu, kerjasama Pas dengan rakan baharu itu akan menolak politik kasar dan perkauman sempit yang menjadi hambatan kemajuan negara dan keharmonian sosial di negara ini.

Benarkan tindakan Pas itu memungkinkan lahirnya landskap politik yang lebih matang? Atau akan berlaku sokong membawa rebah?

Siapa memperkuda siapa dalam kerjasama ini? Pas atau Ikatan? Benarkah ini satu pakatan strategik atau satu pakatan terdesak?

Yang jelas, Ikatan bukan akan dapat membantu Pas, sebaliknya membebankan parti Islam itu. Kepemimpinan presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir boleh disifatkan tidak begitu menyerlah.

Idea penubuhannya berpaksikan mahu memperjuangkan idea perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra.

Ikatan ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh beberapa bekas pemimpin nasional Malaysia dengan presiden sementaranya ialah bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Majlis pelancaran dihadiri 200 orang di hotel Palace of The Golden Horses di Seri Kembangan, Kuala Lumpur. Sasaran parti itu adalah untuk mendapat 500,000 ahli daripada pelbagai etnik di seluruh negara. Ikatan menggunakan gambar dua tangan bersalaman, dengan berlatarbelakangkan warna biru dan kuning .

Visi dan misi Ikatan ialah “amanat merdeka bapa Malaysia” Tunku Abdul Rahman serta isi kandungan dan roh.

Ikatan belum lagi diuji, dan ia tidak mempunyai wakil rakyat baik di peringkat DUN mahupun Parlimen.

Hakikatnya Ikatan merupakan parti nyamuk yang tidak dikenali di negara ini. Kesannya belum menyengat.

Perlu diakui, ini merupakan satu lagi tindakan dan keputusan silap oleh Pas.

Selamat maju jaya kepada Pas dan Ikatan. Semoga ikatan anda berdua berkekalan, supaya Pas tidak perlu lagi menceraikan Ikatan, dan mencari pasangan baharu, dalam lima tahun lagi. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru