KUCHING: Seorang pemandu kereta sedan pasti menyesal seumur hidup kerana kecuaiannya memasuki selekoh menyebabkan seorang lelaki maut semalam.

Pemuda malang tersebut, Jayson Eros, 20 gagal memberhentikan motosikalnya sebelum merempuh kereta tersebut yang secara tiba-tiba memasuki laluannya di Jalan Setia Raja, berhampiran Taman Stutong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, impak pertembungan itu menyebabkan mangsa maut serta-merta.

” Siasatan awal kita mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan sedan yang masuk ke simpang Taman Stutong secara mengejut, menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak.

Polis katanya, telah mengambil keterangan pemandu berusia 36 tahun berkenaan semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan, 1987.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga. – SARAWAKVOICE.COM

kemalangan maut kuching kemalangan maut kuching 3