Saturday, May 21, 2022

Ucapan Jabu membosankan, ucapan Adenan menghiburkan dan penuh jenaka

Secara Rawak

Kolumis: Prof Madya Dr Jeniri Amir
Kolumnis: Prof Madya Dr Jeniri Amir

Tan Sri Adenan Satem terkenal dengan ucapan yang santai, bersahaja, dan diselitkan dengan jenaka. Ucapannya tidak berbelit-belit seperti ucapan  Tan Sri Alfred Jabu.  Bahasa yang digunakan Adenan mudah, dengan ayat singkat-singkat. Ketika bercakap dalam bahasa Inggeris, kekuatan ekspresinya menyengat, dan idiomnya menyerlah.

Jabu terkenal dengan ucapan yang panjang dan membosankan, tanpa banyak idea baharu. Juga, banyak diselitkan dengan “Ketua Menteri yang disayangi” ketika merujuk kepada Pehin Sri Taib Mahmud. Saya pernah mencatat sekurang-kurangnya 10 kali beliau menyebut ‘yang disayangi’ dalam ucapan sekitar 45 minit pada dekad 90-an dahulu.

Adenan telah meminta Jabu tidak menggunakan ungkapan ‘yang disayangi’ ketika merujuk kepada beliau sebagai Ketua Menteri. Ungkapan itu hanya dikhaskan untuk cucu,  anak-anak dan isteri beliau. Memang menggelikan hati.

Sesiapa yang pernah mengikuti ucapan Jabu tentu hairan bagaimana seorang pemimpin politik yang sudah lebih 40 tahun berkecimpung dalam arena politik, tidak berupaya menyampaikan ucapan dengan berkesan. Tidakkah mereka belajar bagaimana untuk menyampaikan ucapan yang baik?

Ucapan yang baik dinilai dari segi ethos, logos dan pathos. Ia bukan sahaja diukur dari segi kandungan, tetapi juga dalil, retorik,  serta bahasa badan dan suara. Dan, yang tidak kurang penting sejauh mana ahli politik berkenaan dapat memujuk khalayak dengan menggunakan elemen emosi.

Memang tidak mudah untuk menyampaikan ucapan yang baik.

Cukai tanah Sarawak3

Adenan sebagai ketua menteri mempunyai ethos atau kewibawaan kerana jawatannya, apa lagi beliau punya kelayakan tinggi dan pengalaman luas, termasuk sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan menteri negeri dan pusat.

Tidak semua pemimpin politik dapat berjenaka atau menyelitkan humor dalam ucapan. Bukan tidak pernah anda melihat, hanya si pengucap yang ketawa, sedangkan khalayak tidak pun berasa lucu.

Di Barat, mereka yang terkenal dengan humor dalam ucapan ialah Donald Trumph, Mark Twain, Will Rogers, Art Buchwald, dan Andy Rooney.

Kata pakar retorik, Stephen Lucas: “In the best speeches, humor grows naturally out of the speech materials and helps the speaker make his or her point by providing special insight into the topic.”

Adenan seorang yang bijak menggunakan bahasa,  lebih-lebih lagi apabila beliau bercakap dalam bahasa Inggeris. Beliau kelihatan tidak begitu selesa mengungkapkan dirinya dalam bahasa Malaysia baku.

Sebaliknya, amat selesa dan bersahaja apabila menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu Sarawak dan Iban. Dengan penduduk Iban  sekitar 30 peratus daripada 2.7 juta penduduk Sarawak, menguasai bahasa itu dianggap semacam satu keperluan dan kemestian.

Bahasa itu bagai lingua franca penduduk pelbagai etnik di negeri ini, dengan bahasa itu digunakan dengan amat meluas di pedalaman dan luar bandar, termasuk dalam kalangan etnik Melayu dan Cina.

Memang ada bahaya jika tersalah guna elemen berkenaan. Beberapa hari lalu, Ketua Menteri  dalam ucapan disiarkan secara langsung oleh TV1, secara berseloroh mencadangkan agar Perdana Menteri mencari isteri daripada kaum Iban.

Adenan sebenarnya bergurau dan gurauan itu diucapkan ketika beliau memuji Datuk Seri Najib Razak yang kerap melawat negeri itu. Najib telah ke Sarawak sebanyak 47 kali sejak menjadi Perdana Menteri pada 2009. Tentu tidak ada PM lain yang dapat menewaskan rekod peribadi beliau itu.

“Terima kasih, anda telah melawat ke seluruh pelosok Sarawak dan satu-satunya perkara yang anda belum boleh lakukan ialah bercakap bahasa Iban. Beliau boleh bertutur dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris tetapi bukan Iban. Saya telah menasihatkan beliau, jika dia mahu mencari isteri yang baharu, pergi mencari daripada kaum Iban. Saya hanya bergurau… hanya bergurau,” katanya dengan pantas, menyedari kemungkinan khalayak dan rakyat salah faham.

Ketika itu beliau dengan wajah khas Adenan, bersahaja, santai, dan bagai tidak apa-apa, turut tersenyum dan gelak, sementara dapat didengar, khalayak juga gelak ketawa.

Adenan berkata demikian  ketika berucap menggunakan bahasa  Melayu Sarawak dan Iban pada majlis perasmian “Inclusive Malaysia, A Nation Digital” di Kuching Waterfront, Sabtu lalu.  

Ketua Menteri itu amat dikenali dengan unsur lawak jenakanya, sering melibatkan orang penting (VIP). Mantan Ketua Menteri, Taib Mahmud, Jabu, dan menteri serta ADUN menjadi sasarannya.

Seperti dalam majlis lain, dalam majlis Sabtu lalu, Adenan pada mulanya mengatakan beliau tidak mahu mengikut sepenuhnya teks ucapan yang diberikan, tetapi bimbang ia akan mengguris hati penulis teks. Menjadi kelaziman untuk penganjur majlis menyediakan teks, tetapi sering Adenan tidak merujuk kepada teks.

Di sebuah majlis rasmi, penulis ucapan difahamkan telah bertungkus-lumus menyediakan teks selama lima hari, tetapi kemudiannya teks itu langsung tidak dirujuk. Kelihatannya, Adenan lebih selesa bercakap tanpa diikat oleh teks.

Memang, dari segi komunikasi politik, ucapan tanpa teks membolehkan ahli politik, bertentang mata dengan audiens, dan dia dapat menyampaikan isi hatinya dengan lebih baik.

Namun, memang terdapat pesanan pakar. Ahli politik perlu berhati-hati ketika menggunakan lawak jenaka dalam ucapan untuk tidak menyinggung perasaan khalayak. Elemen yang dianggap sensitif ialah perkara berkaitan dengan agama, budaya, seks, etnik, adat resam, dan beberapa lagi. Saya percaya Adenan sebagai pemimpin yang sudah berpengalaman lebih 35 tahun dalam politik tahu akan prinsip asas ini.

Namun untuk berlaku adil, jenaka beliau disedut di luar konteks meskipun tidak dinafikan ia memang melampau, keterlaluan dan tidak sensitif. Saya dilatih untuk bersikap objektif dalam membuat analisis sesuatu ayat dan wacana. Keseluruhannya perlu dilihat di dalam konteks. Untuk itu, ayat dan wacana berikut perlu dinilai semula.

“Beliau  (Najib) boleh bertutur dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris tetapi bukan Iban. Saya telah menasihatkan beliau, jika dia mahu mencari isteri yang baharu, pergi mencari daripada kaum Iban.”

Yang dimaksudkan ialah kalau hendak fasih dalam bahasa Iban, beliau perlu kahwin dengan wanita Iban. Maksud terselindung, jika beliau mahu Najib fasih dalam bahasa Melanau, kemungkinan besar Adenan akan kata: “Beliau  (Najib) boleh bertutur dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris tetapi bukan bahasa Melanau. Saya telah menasihatkan beliau, jika dia mahu mencari isteri yang baharu, pergi mencari daripada kaum Melanau.” Ah, ha.

Tetapi, politik adalah politik. Musuh politik menyedari itu ialah bahan terbaik untuk dijadikan isu, bagi mencederakan imej Adenan. Dan, tentu isu itu cepat mendapat perhatian kerana ia babitkan soal kaum dan wanita.

Selepas ini, Adenan perlu sedar ada gurauan untuk dikongsikan dengan isteri di kamar tidur. Ada yang hanya sesuai untuk dikongsikan dalam kalangan rakan-rakan sepejabat. Tetapi jenaka Adenan yang satu itu tentu bukan untuk dipancarkan ke seluruh negara melalui TV.

Saya tidak tahu, bagaimana agaknya reaksi Rosmah Mansor, isteri Najib dengan jenaka tersebut?

Ya, menyedari kesannya jika dibiarkan berlarutan, Adenan dengan jiwa besarnya, cepat memohon maaf. Berapa orangkah pemimpin politik Malaysia pernah memohon maaf? Itu tindakan bijak dan paling tepat. Kalau dibiarkan, isu itu tentu terus viral dan menggelegak. Tetapi dengan permohonan maaf, maka tentu Adenan mengharapkan ia terhenti di situ.

mansuh cukai tanah 3Dalam satu sidang media di Kuching pagi semalam, Adenan berkata kenyataan itu dibuat sekadar untuk bergurau dan tiada berniat jahat. “Malah perdana menteri pun ketawa. Beliau tahu ia (kenyataan berkenaan) cuma jenaka. “Tetapi jika ada mana-mana pihak terasa, saya memohon maaf,” katanya.

Komen Adenan berkenaan kemudian mendapat kritikan daripada Persatuan Siswazah Dayak Sarawak yang menganggapnya ia melucukan. Malah, beliau dikritik tajam dalam media sosial.

Benarlah kata orang, terlanjur perahu dapat diundur, terlanjur kata buruk padahnya. Tentu episod ini memberi pengajaran berguna kepada Adenan supaya lebih sensitif dan berhati-hati ketika berjenaka. – SARAWAKVOICE.COM

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan pengarang prolifik yang kini bertugas di Universiti Malaysia Sarawak

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru