Tuesday, June 28, 2022

Pas-Ikatan ikrar tolak politik oportunis, politik kasar dan perkauman

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Blok baharu politik yang terjalin antara Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berjanji akan menggunakan pendekatan baharu dalam amalan politik di negara ini, dengan menolak budaya politik oportunis.

Selain itu, kerjasama Pas dengan rakan baharu itu akan menolak politik kasar dan perkauman sempit yang menjadi hambatan kemajuan negara dan keharmonian sosial di negara ini.

“Atas prinsip inilah, maka hari ini bermulah kerjasama politik Pas dengan Ikatan,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Ikatan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam satu kenyataan.

Kenyataan bersama itu dibacakan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Berkaitan kerjasama itu, Abdul Hadi berkata, blok berkenaan akan memilih pendekatan politik matang berdasarkan komposisi dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Kami tidak terima perkara negatif yang dalam kerajaan. Kita mengambil pendekatan menasihati kerajaan dengan kemuka pandangan bukan sahaja di Parlimen tetapi juga dengan cara berdepan,” katanya.

Tambah beliau: “Kita tidak mahu pendekatan membangkang secara ekstrem yang menyusahkan rakyat kerana kita dapati membangkang secara ekstrem bukan sahaja tidak selesaikan masalah, malah menjadikan masalah itu lebih rumit.”

Menurut beliau agenda utama muafakat itu ialah perubahan kepada pemerintahan negara.

“Sama ada kerajaan berubah atau ada transformasi yang positif ataupun kita yang mengubah kerajaan.” – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru