KUALA LUMPUR:  Walau apa pun serangan politik dilancarkan pelbagai pihak, Datuk Seri Najib berikrar Barisan Nasional tidak akan  hilang hala tuju dan hilang fokus. Sebaliknya, akan komited untuk menjalankan pentadbiran.

Perdana Menteri beri jaminan, beliau dan rakan-rakan dalam BN akan tetap fokus dalam menjalankan pentadbiran walau apa pun serangan politik yang diterima.

Najib berkata beliau tidak hairan dengan apa-apa yang berlaku terhadapnya, dan akan terus komited melaksanakan pelan ekonomi yang dirancang.

“Kita tetap komited untuk melaksanakan pelan kalau kita berjaya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di Dewan Rakyat hari ini.

Annuar bertanya, adakah Perdana Menteri sedar beliau menghadapi tekanan dan kempen benci yang rancak dijalankan serta apakah pendirian perdana menteri berhubung perkara itu.

Menjawab soalan itu, Najib berkata: “Kalau kita terus istiqamah dan konsisten, lambat laun rakyat akan hargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan,” jelasnya.

Najib membuat perbandingan berhubung apa yang berlaku terhadap dirinya kini dengan yang dialami bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bila Tun Mahathir jadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran yang dilemparkan kepada beliau seperti mahazalim, maha firaun dan lain-lain, tapi sekarang ni (boleh) duduk bersama pembangkang pula,” tambahnya. – SARAWAKVOICE.COM