Friday, August 19, 2022

Jeniri miliki 10, 000 buku dan penulis 50 buku menang Anugerah Tokoh Buku Sarawak

Secara Rawak


KUCHING: Kegilaan terhadap buku, baik membaca mahupun menulis menjadikan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr Jeniri Amir hari ini dinamakan sebagai penerima Anugerah Tokoh Buku Sarawak 2016.

Jeniri, 57 diiktiraf sebagai penulis paling prolifik di Sarawak telah menghasilkan lebih 50 judul buku dan menghasilkan lebih 2000 artikel dalam pelbagai bidang dan genre.

Beliau yang memiliki pengkhususan yang pelbagai, terutamanya dalam bidang politik, sejarah, penulisan dan media juga dikenali sebagai pembaca buku yang rakus.

Jeniri yang mampu menghabiskan sekitar 20 buku sebulan mempunyai koleksi buku peribadi menjangkau 10,000 naskhah.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib di Pusat Konvensyen Borneo dekat sini sebentar tadi.

Sementara itu, mantan Pengarah Bahagian Peperiksaan Jabatan Pendidikan Malaysia yang juga penyair terkenal Sarawak, Datu Dr Adi Baiozaman Tuah pula menerima Anugerah Penulis Sarawak.

Penerima lain ialah Roslan Jomel (Pengarang Prolifik), Zainal Abidin Suhaili @ Abizai Abi (buku puisi terbaik-Membentuk Elok di Teluk Esok), Radzemah Bolhassan (novelis popular) dan Jong Chian Lai (novel terbaik – Ah Fook).

Sementara itu, Pengerusi ITBM, Haji Hassan Hamzah dalam ucapannya berkata, pihaknya kini sedang merancang untuk mewujudkan sebuah “Kampung Buku Borneo” di Semariang serta ” Muzium Buku” di lokasi yang masih belum dikenal pasti.

Penubuhan kampung dan muzium ini katanya, diharap dapat mencetuskan minat membaca dalam kalangan penduduk negeri ini.

Hassan menambah, pihaknya telah menerbitkan 18 ribu judul setakat ini, termasuk 12 ribu buku baharu.

” Jumlah ini masih jauh dari sasaran kita iaitu menerbitkan 30,000 judul setahun,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 19 judul adalah karya penulis Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru