Tuduhan lemah punca kes gugur dua wartawan akui “cintai” Sarawak

KUCHING: Peguam bela yang mewakili dua wartawan ABC News, Albert Tang menyifatkan tuduhan yang “tidak kukuh dan lemah” menjadikan kes itu digugurkan hari ini.

Menurutnya, penangkapan itu tidak seharusnya berlaku hanya kerana kedua-dua anak guamnya hendak bertanyakan soalan kepada Perdana Menteri ( Datuk Seri Najib Razak).

” Apa salahnya dengan itu? Saya selalu melihat wartawan bertanya soalan kepada menteri dan orang kenamaan….tidak pula mereka ditahan dan dituduh di mahkamah?” tempelaknya seperti yang dipetik daripada Malay Mail Online pagi tadi.

Bagaimanapun katanya lagi, beliau tidak tahu pula jika pelepasan tuduhan oleh Peguam Negara ini mempunyai kaitan dengan desakan oleh Kerajaan Australia.

Linton Besser, 51 dan Louie Egrolu, 39 yang bertugas dengan ABC News sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 186, Kanun Keseksaan kerana mengganggu tugas penjawat awam dalam majlis rasmi.

Mereka ditahan sebelumnya kerana merempuh protokol keselamatan Perdana Menteri ketika Datuk Seri Najib Razak mengadakan kunjungan mesra ke Masjid Darul Ehsan, Kampung Haji Baki pada Sabtu lalu.

Sabit kesalahan, kedua-dua wartawan ini berhadapan risiko penjara dua tahun atau denda RM10 ribu atau kedua-duanya.

Tuduhan ke atas kedua-duanya bagaimanapun digugurkan pada pagi tadi dan mereka diminta hadir ke balai polis bagi mendapatkan passport dan menyempurnakan beberapa dokumen sebelum dibenarkan keluar dari negeri ini.

Sementara itu, ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum penerbangan ke Singapura, jam 10.25 pagi tadi, kedua-dua wartawan itu enggan mengulas lanjut tentang penahanan mereka sebaliknya mengakui tidak menyimpan dendam terhadap insiden itu.

” Kami suka Sarawak. Tempat ini cantik dan rakyatnya mesra,” kata Besser yang berharap dapat membawa keluarganya berkunjung ke negeri ini pada masa depan.

Katanya, mereka amat gembira dengan pengguguran tuduhan itu namun tidak dapat mengulas lanjut memgenainya.

“Maaf. Kami tidak dapat mengulas tentang apa yang berlaku. Kami juga wartawan. Kami mahu untuk mengulas tetapi tidak boleh pada waktu ini,” katanya yang turut tidak mengulas tentang soalan yang ingin dikemukakan kepada Perdana Menteri pada malam itu.

Pasangan ini ditahan selama enam jam di Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, setelah keterangan mereka direkodkan dan diberi amaran keras.

– SARAWAKVOICE.COM