Monday, January 24, 2022

Parit enam lokasi banjir kilat di Kuching cadang dinaik taraf

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan telah mengenal pasti enam kawasan di bandar raya ini yang berisiko mengalami banjir kilat apabila hujan turun secara luar biasa.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, antara kawasan tersebut termasuklah kawasan Hospital Umum Sarawak, Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Jalan Rock dan Jalan Batu Lintang.

Kawasan lain termasuklah Kompleks Kediaman Kakitangan Persekutuan dan Taman Malihah.

Katanya, banjir kilat di kawasan ini berlaku kerana sistem perparitan yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah taburan hujan yang kini mencecah 200mm ke 300mm.

” Sistem yang sedia ada hanya dapat menampung taburan hujan bersaiz maksimum 150mm,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Rancangan Mitigasi Banjir Kilat Bahagian Kuching Samarahan di Wisma Bapa Malaysia dekat sini.

abg johari banjir 2

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak, Chook Moi Soon.

Oleh itu katanya, sebagai penyelesaian jangka pendek, kerajaan sedang merancang untuk menaik taraf sistem perparitan di kawasan berisiko ini agar dapat menampung saiz hujan yang luar biasa pada masa akan datang.

Difahamkan cadangan untuk kos naik taraf ini menelan sekitar RM97 juta, yang meliputi kerja-kerja membesar dan mendalamkan sistem perparitan dari Hospital Umum Sarawak ke Kompleks Belia dan Sukan, Jalan Rock ke Jalan Batu Lintang dan Jalan Taman Mabel ke Sungai Maong.

Turut dicadang naik taraf ialah sistem perparitan di kawasan Kompleks Kediaman Persekutuan, Taman Malihah serta kerja-kerja mendalamkan Sungai Tabuan.

Untuk jangka panjang kata Abang Johari, kerajaan akan menggunakan pendekatan baharu dalam membina sistem perparitan.

” Kita akan membina kolam takungan pada parit-parit yang berselirat di sekitar bandar raya sebelum air tersebut disalurkan ke parit utama.

” Pada masa yang sama kita akan melihat semula cadangan landskap di bandar raya ini agar tidak lagi dilitupi simen secara keseluruhannya.

Seperti Singapura, katanya, kita pastikan setiap landskap menggunakan kaedah yang sesuai, dengan mewujudkan ruang untuk tanah dan rumput, bagi memudahkan air hujan menyerap ke dalam tanah dan bukannya bertakung.

” Ini akan membolehkan air surut dengan pantas apabila berlaku lagi banjir kilat pada masa depan,” tambahnya.

Pada 27 Februari lalu, tekanan suhu rendah di beberapa kawasan di Kuching dan Samarahan telah menyebabkan hujan luar biasa berlaku hingga menenggelamkan beberapa kawasan termasuk Hospital Umum Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM

abg johari banjir

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru