Friday, December 3, 2021

Peniaga gangster di Sarawak dijejaki

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sarawak akan memantau sebarang elemen gangsterisme dalam industri peruncitan di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Ab Hafidz Ab Rahim berkata, tindakan tegas akan diambil jika ada peniaga yang memiliki sifat demikian, termasuk mengadakan paksaan kepada pembeli.

“Biarpun kita tidak menerima sebarang laporan, namun kita akan bertindak secara proaktif bagi mengekang keadaan ini menular ke Sarawak,” katanya.

Beliau ditemui pada Ops Bersepadu yang dilaksanakan di Pasar Besar Petanak dekat sini awal pagi tadi.

Operasi yang turut disertai pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Pertanian Negeri ini bertujuan melakukan pemantauan serta mengambil tindakan terhadap peniaga yang melakukan manipulasi sehingga menyumbang kepada kenaikan harga barang serta dan melakukan kenaikan harga yang tersembunyi.

Menjelas lanjut, Hafidz berkata, pihaknya sedar akan kewujudan para peniaga yang sehingga sanggup bertindak kasar, menghina malah mengurung pembeli jika enggan membeli jualan mereka, seperti yang berlaku di sebuah negeri di Semenanjung.

“Oleh itu, kita melakukan pemantauan rapi, malah kita akan memerangi gejala ini jika ia berlaku di Sarawak.

Sehubungan itu katanya, pihaknya mengalu-alukan sebarang laporan daripada orang ramai jika wujudnya peniaga yang tidak beretika seperti ini.

Sementara itu, Hafidz menjelaskan, sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, KPDNKK telah menyiasat dan mencatatkan sejumlah 291 kes yang berkaitan dengan manipulasi harga dan perihal dagangan di seluruh negeri Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, kita telah melakukan rampasan bernilai lebih RM13 juta,” tambahnya lagi.

Ops Bersepadu ini akan berlanjutan sehingga 31 Disember depan di seluruh negeri Sarawak. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru