Ekspo Buku Sarawak di BCCK, datanglah beramai-ramai

KUCHING: Ekspo Buku Sarawak 2016 akan berlangsung selama lima hari hingga 20 Mac, mulai hari  di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Penerbit dari seluruh negara akan mempamerkan dan menjual buku mereka di ekspo itu, dengan buku dalam pelbagai bahasa dan bidang dijual.

Mulai hari ini 300 orang penulis, peminat dan aktivis sastera dan budaya berhimpun di sini selama dua hari dalam program Memperkasa Penulis Sarawak.

Perhimpunan anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA)  itu akan diadakan di   Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

hassan hamzah_0000
Haji Hassan Hamzah

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan jumlah penulis dan sasterawan dari Sarawak yang menulis dalam bidang kreatif dan bukan kreatif. Kita mahu memastikan Sarawak dapat menerbitkan jumlah buku yang lebih banyak, sekurang-kurangnjya 3,000 judul setahun, sesuai dengan piawai antarabangsa,” kata Haji Hassan Hamzah, pengerusi YPBN.

“Malaysia sepatutnya mempunyai 30,000 judul buku, dengan Sarawak menyumbang 3,000 judul” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Berdasarkan statistik Perpustakaan Negara Malaysia, penerbit di negara ini hanya menerbitkan sekitar 18,000 judul setahun.

Menurut Setiausaha Agung GAPENA, Haji Hamzah Hamdani, program itu dianjurkan sempena Ekspo Buku Sedunia, bertujuan menghimpunkan para penulis Malaysia, khususnya di Sarawak bagi membincangkan isu berkaitan sastera, budaya, dan bahasa.

“Ia juga bertujuan menghimpunkan rakyat pelbagai kaum dalam membentuk semangat cintakan negara berasaskan semangat perpaduan Malaysia, serta menanam semangat kental jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan penulis Malaysia, khususnya di Sarawak,” kata beliau.

Haji Hamzah berkata, tema perhimpunan ialah “Penyatuan Penulis Sarawak dalam Memperkasakan Sastera Kebangsaan.”

Perasmian akan disempurnakan oleh Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, pada pukul 2 petang, 15 Mac.

Pelbagai sesi perbincangan, pembentangan kertas kerja dan forum bakal diadakan.

Antara tokoh dijemput ialah  Sasterawan Negara Datuk Dr Zurinah Hassan, Datu Adi Badiozaman Tuah, Datu Dr Sanib Said, dan Jong Chian Lai.

Satu forum bertajuk  “Usaha Peningkatan Penerbitan Buku di Malaysia”  turut diadakan, menampilkan ahli panel, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, Prof Dr Roosfa Hashim, Mohd Khair Ngadiron, dan Prof Madya Dr Hamedi Adnan.

Dalam satu majlis malam esok, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Diraja Hamidah Khamis dijangka akan menyampaikan anugerah kepada penulis, termasuk Penulis Prolifik dan Penulis Ikonik Sarawak. Anugerah Telenovela 20-15 akan turut disampaikan.- SARAWAKVOICE.COM

bahasa bcck_0000