Wednesday, June 29, 2022

Penangkapan 2 wartawan Australia tidak jejas pelancongan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Sektor pelancongan di Sarawak tidak akan terjejas, kesan daripada laporan buruk dan negatif media sosial Barat, berikutan penangkapan dua wartawan Australia, Sabtu lalu.

Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, beliau percaya masyarakat seluruh dunia faham bahawa tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua wartawan asing itu adalah menyalahi undang-undang.

“Di mana-mana negara pun, keselamatan pemimpin adalah menjadi keutamaan.

“Malah ketika Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama atau Presiden Britain, David Cameron berkunjung ke negara ini pun, tahap keselamatan ditingkatkan dan diketatkan.

Malah ketika kunjungan kedua-dua pemimpin itu, pengunjung, wartawan malah orang biasa tidak dibenarkan berkunjung ke hotel penginapan mereka,” katanya lagi.

Abang Johari yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap media di Sarawak berkata, penting untuk wartawan asing ini menghormati dan mematuhi etika kewartawanan negara ini, terutamanya jika melibatkan pemimpin negara.

” Kita ada ruang yang cukup semasa sidang media. Jadi bersabarlah, tunggu sidang media … bukan merempuh kawalan dan protokol keselamatan,” katanya yang ditemui media selepas merasmikan Program Astro Kasih di Dewan Datu Merpati, Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang, dekat sini.

Melalui progran tersebut, sebanyak 2500 pelajar dari sekitar Kuching dan Serian menerima set peralatan sekolah seperti beg sekolah, buku nota dan kemeja-t baharu.

Beliau merujuk tindakan polis menahan dua wartawan ABC News dari Australia, Linton Bresser, 39 tahun dan Louis Eroglu, 51, tahun selepas merempuh kawalan protokol keselamatan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan kunjungan mesra ke Kampung Haji Baki, Kuching, Sabtu lalu.

Kedua-dua individu terbabit, ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan dibebaskan dengan jaminan polis pagi esoknya selepas diberikan amaran keras, selain keterangan mereka direkodkan.

Penahanan itu kemudian tersebar dan menarik perhatian kebanyakan media di dunia dengan alasan bahawa mereka ditangkap ketika sedang membuat liputan tentang masalah rasuah di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dipetik berkata di Kuching semalam, kedua-dua wartawan tersebut tidak dibenarkan keluar dari Sarawak sehingga proses pendakwaan dilakukan terhadap mereka.

“Kita masih berbincang dengan pegawai dari Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tuduhan kepada mereka.

Setakat ini, kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana mengganggu tugas penjawat awam. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru