Monday, January 24, 2022

Dikata gila, menyelam bersama buaya

Secara Rawak

KUCHING: ” Kami dikatakan gila. Sengaja menempah maut!” Tersenyum Tawang Lingem mengingatkan pengalaman hebatnya sewaktu beraksi sebagai salah seorang anggota SMART Malaysia.

Beliau merupakan salah seorang daripada rakyat Sarawak dan pegawai bomba yang terpilih menyertai skuad elit penyelamat itu.

“Sebenarnya, kami didatangkan khas dari Kuala Lumpur ke Besut bagi mencari seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang hilang ketika bermain bot.

“Setibanya di lokasi kami terus berpecah kepada tiga kumpulan dan melakukan selaman pencarian.

Katanya, pihaknya mengambil masa beberapa jam, mencari dan menyelongkar di seluruh tempat yang berpotensi mayat tersebut terdampar.

“Ketika kami hendak naik ke permukaan, kami mendengar dinding bot dipalu tanpa henti, tanda isyarat bahaya.

“Naik ke permukaan, baharu kami tahu bahawa ada seekor buaya yang besar dikesan berada tidak jauh dari kami.

“Apa lagi, semua naik cepat ke dalam bot,” katanya.
Ketika itu, beberapa anggota polis sudah bersedia mengacu M16 dan membuntuti pergerakan sang bedal tersebut.

“Orang ramai yang berada di tebing macam pesta.

“Ketua kami yang berpangkat kapten memberi isyarat agar tiada selaman lagi selepas itu….hanya pencarian permukaan,” imbas Tawang.

Sehingga kini, katanya, jasad kanak-kanak itu tidak dijumpai.

Tawang berkata, pengalaman sebagai penyelam penyelamat turut menyaksikan dia turun ke Sungai Kelang yang dikenali sebagai sungai paling tercemar di negara ini.

“Kami terjun di belakang Brickfields setelah mendapat maklumat seorang penjenayah lari dari tahanan dan terjun ke sungai tersebut.

“Kami diarahkan melakukan pencarian dan mencari di tempat yang disyaki mayat mangsa itu tersangkut.

Menurut Tawang, sungai tersebut memang mencabar.

penyelam 4

“Bukan sahaja keladak, tetapi dipenuhi sampah dan minyak.

“Saya terus buang dan tidak dapat menggunakan sut selaman itu lagi selepas itu,” katanya.

Mayat lelaki India buruan polis itu kemudiannya ditemui lebih lima kilometer dari situ.
Keyakinan Tawang dalam menjalankan aktiviti selaman agak tinggi kerana dia dan rakan-rakannya berlatih di dasar Tasik Titiwangsa.

“Di sini, kami terpaksa mengharungi selut separas dada. Dan kami berjaya tiba ke point yang ditetapkan dengan menggunakan kompas,” katanya.

Ketika berlatih di situlah tambahnya, Tawang terjumpa sebuntil guni di dasar tasik yang kemudian apabila dibuka mengandungi mayat manusia yang diikat. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA: 

Siri #1 – Bahaya menyelam di bawah laut

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru