Dalam Hikayat Hang Tuah, diceritakan perihal amukan Hang Jebat di Istana Melaka hingga menimbulkan aib yang begitu besar kepada paduka Sultan. Ramai pahlawan telah dihantar oleh Sultan untuk membunuh Hang Jebat, tetapi semuanya gagal.

Kunci kepada kekuatan Hang Jebat ialah sebilah keris yang bernama Taming Sari. Kerana keris itu, beliau dikatakan tidak lut dan gagal dibunuh. Sultan Melaka amat sugul dan gundah gulana dengan perkembangan itu.

Cahaya akhirnya muncul di hujung terowong apabila mamak Bendahara menyampaikan sembah derhaka dan membawa kembali Dato Laksmana Hang Tuah yang sepatutnya telah dihukum bunuh.

Setelah diampunkan dosanya oleh Baginda Sultan, Hang Jebat meminta senjata terbaik yang ada dalam simpanan Sultan Melaka untuk berhadapan dengan Hang Jebat.

Lalu Sultan menganugerahkan kepada Hang Tuah sebilah keris yang bernama Sempena Eras. Tak kala menerima keris tersebut, Hang Tuah berkata, “dengan keris ini, jangankan hendak membunuh Hang Jebat, melukakannya pun belum tentu”.

Dalam kemelut politik semasa yang berpunca daripada ‘politik amuk’ Tun M, rakyat ternanti-nanti siapakah Hang Tuah yang akan bangkit dan berhadapan dengan ‘Hang Mahathir’ yang ada Taming Sari di tangannya!

Pada hari Sabtu 12 Mac 2016, seramai 147 Ketua-ketua Bahagian UMNO bangkit menyatakan pendirian mereka yang mengutuk tindakan Tun Mahathir bekerjasama dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tindakan tersebut disifatkan boleh menyelamatkan Datuk Seri Najib  kerana kuasa menentukan siapa patut menjadi Presiden parti terletak di tangan ketua-ketua bahagian.

Namun untuk menyelamatkan UMNO dan BN, tindakan tersebut diragukan sama sekali. Satu perempat daripada ketua-ketua bahagian itu sendiri akan ditolak oleh pengundi jika dicalonkan dalam PRU 14 nanti.

Apabila Tun M melancarkan ‘Deklarasi Rakyat’ yang bertujuan untuk menggulingkan Datuk Seri Najib bersama Lim Kit Siang dan pemimpin pembangkang yang lain dua minggu lalu, ramai menganggap ianya adalah satu kesilapan besar Tun Mahathir.

Deklarasi Rakyat Deklarasi Rakyat 2

Ini adalah kerana dua sebab utama seperti berikut: pertama, usaha menurunkan pemimpin diluar daripada saluran pilihan raya dianggap salah. Kedua,  Lim Kit Siang telah lama digambarkan oleh Tun M sendiri sebagai musuh utama orang Melayu semasa 22 tahun beliau memimpin UMNO. Oleh itu, kerjasama tersebut dikatakan ditolak oleh orang Melayu.

Suka atau tidak Tun M adalah ‘mahaguru politik Malaysia’. Tindakannya sukar diramal. Yang tersurat mesti dibezakan dengan yang tersirat. Dalam kemelut sekarang, yang tersurat ialah Tun mahu membuang Najib. Ini tidak sukar untuk difahami. Tetapi apakah yang tersirat?

Tiada siapa mendugaTun M akan mengucapkan perkataan ‘jijik’ terhadap UMNO semasa beliau membuat keputusan keluar daripada parti itu. Beliau memulakan kempen benci kepada UMNO dengan menunggang arus ‘kemarahan orang muda’ terhadap UMNO.  Dan dengan sisa pengaruh yang masih ada, UMNO serta BN adalah sasaran utama beliau untuk ditumbangkan semasa PRU 14. Secara tersirat, Tun M adalah ‘Ketua Pembangkang’ yang baru dalam politik Malaysia.

Orang muda adalah golongan yang tersepit di tengah-tengah kerancakkan pembangunan negara pada masa sekarang. Kos hidup melambung naik, kadar penggangguran semakin tinggi dan bagi yang bekerja pula tangga gaji mereka amat rendah.

Golongan muda atau Gen Y yang tidak puas hati dengan prestasi BN adalah sasaran utama pembangkang dan dapat dilihat dengan jelas semasa PRU 13 di Johor dan Lembah Kelang. Pengundi muda yang bekerja di Singapura beramai-ramai mengalihkan undi kepada  pembangkang di Johor sehingga menyebabkan beberapa tokoh politik daripada UMNO Johor seperti Ghani Othman tersungkur di Gelang Patah dan Fuad Zarkashi di Batu Pahat.

PRU 14 belum lagi diadakan. Anehnya telah ramai nujum pak belalang dan nujum serkap jarang menyatakan tindakan Tun M tidak akan memberi apa-apa kesan kepada BN. Bagaimana mereka melihat ke masa dahadan dan dapat  menjangkakan keputusan PRU 14 tidak pula dinyatakan!

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) memberitahu pemberita beberapa hari lalu bahawa beliau telah bertemu Datuk Seri Najib dan Najib menyatakan kepada Ku Li bahawa beliau ada cara tersendiri untuk berhadapan dengan serangan Tun M. Itulah berita yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia.

Datuk Seri Najib, seperti dalam Hikayat Hang Tuah, perlu merampas Taming Sari daripada tangan Tun M terlebih dahulu. Taming Sari itu dalam bahasa sekarang ialah perhatian terhadap masalah orang muda.

Orang muda perlu diberi tempat dalam arena politik, suara mereka mesti didengar, masalah mereka mesti diselesaikan. Itulah kunci untuk menyekat amukan politik Tun M.
Siapa kata hikayat Melayu tidak berguna dalam menganalisa dinamik politik Malaysia? – SARAWAKVOICE.COM