Serangan Rahman Yakub terhadap Taib dalam Ming Court

Abdul Rahman Yakub

Pada 13 Mac 1987, Datuk Leo Moggie telah buat pengumuman bahawa PBDS menyokong Abdul Rahman Yakub untuk diangkat sebagai Ketua Menteri.

Rahman Yakub pada mulanya cuba berselindung di balik tabir, tiba-tiba muncul di tengah-tengah khalayak ramai di Lapangan Terbang Kuching apabila beliau balik dari Kuala Lumpur pada  19 Mac 1987 membawa balik Sijil Pendaftaran sebuah parti diberi nama Parti Persatuan Rakyat Malaysia (Permas).

Beliau dilantik sebagai penyelaras pilihan raya yang akan diadakan tidak lama kemudian.  Pencalonan diadakan pada 6 April 1987 dan hari pembuangan undi adalah pada  15 dan 16 April 1987 selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 13 Mac.

Datuk Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri, penuh yakin akan menang. Beliau punya strategi dan pelan tersusun. Beliau juga mempunyai sumber kewangan yang kuat dan banyak. Beliau mempunyai kuasa ke atas jentera kerajaan, termasuk kemudahan pengangkutan. Beliau mendapat sokongan logistik daripada badan kerajaan. Beliau telah mengenal pasti medan perjuangannya setelah lapan tahun memerintah.

Tatkala   Rahman Yakub tiba di Lapangan Terbang Kuching, beliau disambut ramai penyokongnya. Kebetulan pada saat itu, dakwa Hasbie, beliau juga berada di situ bagi menyambut anaknya yang datang dari Kuala Lumpur. Beliau terserempak dan ditegur Abdul Rahman Yakub dengan mesra. Pada masa pergolakan politik Abdul Rahman Yakub dan Taib, Hasbie sedang bekerja dalam Syarikat Samasa Press yang dimiliki oleh Noor Tahir.

Rahman Yakub menggunakan Sarawak Tribune untuk mendedahkan kelemahan Taib, manakala Taib menggunakan akhbar baharu, People’s Mirror untuk mendedahkan kelemahan Rahman Yakub. Kedua-dua akhbar saling mendedahkan senarai pemilik konsensi balak.

Berdasarkan laporan itu, antara syarikat yang mendapat konsesi balak pada zaman pemerintahan Rahman Yakub sebagai Ketua Menteri ialah Lembahan Mewah Sdn Bhd, Maguari Sdn Bhd, Mosko Lumber Sdn Bhd, Barbet Sdn Bhd, Kabala Sdn Bhd, Syarikat Delapan Sdn Bhd, Sebiyau Logging Sdn Bhd, Kehutanan Sentiasa Sdn Bhd dan Baltim Sdn Bhd.

     Antara mereka yang menjadi ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham syarikat terbabit ialah anak-anak serta saudara-mara dan penyokong Rahman Yakub. Mereka ialah Norlia Abdul Rahman, Khadijah Abdul Rahman, Aishah Abdul Rahman, Zaiton Abdul Rahman, Fatimah Abdul Rahman, Norah Abdul Rahman. Yang lain ialah Haji Mohd. Deli Abdul Rahman, Zainuddin Satem, Mokhsen Ibrahim, Datuk Asmar Abang Yusuf Puteh, Datuk Haji Salleh Jafaruddin dan Wan Habin Syed Mahmud.  

  Keluasan kawasan hutan yang diberi kepada syarikat berkenaan adalah antara 1,163 hektar hingga mencecah 198,926 hektar, yang dimiliki oleh Keruntum Sdn Bhd. Pengarah syarikat yang memiliki kawasan hutan terbesar itu ialah Haji Mohd Deli Abdul Rahman dan Haji Mohd Louis Ali (Peoples Mirror, 12 April 1987). Pendedahan ini dilakukan oleh People’s Mirror, akhbar yang dikuasai kumpulan Taib.

Di sebaliknya, kumpulan  Rahman Yakub pula mendedahkan kawasan balak yang dimiliki kroni Taib melalui akhbar Sarawak Tribune. Antara syarikat terbabit ialah Seatex Plantation Sdn Bhd, Bumi Hijau Berkembang Sdn Bhd, Sarimas Sdn Bhd, Sarako Sdn Bhd, Gerogo Quarry Sdn Bhd. Antara pemilik syarikat itu ialah Ambrose Belikau ak Enturan, Calestine Ujang Jilan, Bustari Yussof, Alek Kok, James Jimbun, dan Douglas Sullang. Syarikat terbabit diberi kawasan seluas antara 26,000 hektar hingga 50,000 hektar (Sarawak Tribune, 11 April 1987).]

  Senarai pemegang konsesi balak yang dikaitkan dengan Taib pula didedahkan melalui Sarawak Tribune, akhbar yang dikuasai kumpulan Rahman Yakub. Jelaslah, kedua-dua akhbar  merupakan senjata ampuh kedua-dua pihak untuk menyerang musuh dan mempertahankan diri jika diserang musuh.

Kedua-dua akhbar itu laris bagai pisang goreng panas kerana orang ramai mahu mengetahui perkembangan yang berlaku antara kedua-dua pemimpin itu, dan apa lagi berita kontroversi dan panas yang bakal didedahkan.

 Selain itu, pentas ceramah juga digunakan untuk mel;ancarkan serangan dengan menggunkan strategi komunikasi politik yang ampuh, termasuk menaburkan fitnah terhadap musuh. Ceramah dan laporan akhbar menjadi medan untuk rakyat mengetahui kerenah kedua-dua orang pemimpin.

Permas banyak menyerang kepemimpinan Taib dan politik wang, manakala PBDS mengeksploitasikan nasionalisme Dayak dalam kempen yang panas. Kedua-dua pihak berusaha untuk mencederakan imej dan reputasi masing-masing walau dengan apa-apa cara sekalipun, termasuk dengan mendedahkan keaiban.

     Penekanan perjuangan Permas-PBDS keadilan  keadilan, kebebasan, demokrasi, keharmonian etnik, toleransi agama, pembangunan rakyat dan integrasi nasional. Ia cuba memberi perhatian kepada perasaan, aspirasi, masa depan dan hak rakyat Sarawak.

Untuk itu, dalam manifesto berkenaan Permas-PBDS merayu kepada rakyat untuk sama-sama menamatkan zaman ketakutan, penyalahgunaan kuasa, kebencian dan zaman meanakut-nakutkan musuh politik.

Mengapakah Permas-PBDS bekerjasama dalam pilihan raya itu? Mengikut manifesto berkenaan selama lebih kurang enam tahun di bawah Taib, ia mendakwa beliau dan pentadbirannya telah melakukan banyak perkara tidak baik. Mereka telah melencongkan pembangunan daripada yang dihasratkan oleh rakyat.

Sebaliknya, tump8an adalah kepada projek berprestij yang tidak mendatangkan manfaat segera kepada rakyat, sepperti projek Pantai Damai. Daripada memberikan perhatian terhadap rintihan dan keperluan petani kecil-kecilan, kerajaan Taib dikatakan mengagihkan kawasan tanah yang besar kepada pihak luar, dengan bantuan pekerja asing.

Kerajaan pimpinan Taib kata manifesto itu lagi, melemahkan semangat dan mempolitikkan pentadbiran awam, dan memperkenalkan dasar pilih kasih dan nepotisme. Ia telah campur tangan dalam urusan pemberian tender dan lesen untuk tujuan politik. Mereka gagal mengagihkan projek pembangunan secara adil, dengan mengamalkan dasar diskriminasi. Kestabilan politik berlaku disebabkan salah urus negeri.

Justeru, Taib dan kerajaan beliau perlu disingkirkan daripada kuasa sebelum mereka terus merosakkan rakyat dan negeri Sarawak. Politik impian Taib perlu digantikan dengan ‘Politik Rakyat’, kerajaan untuk rakyat, dan bukan kerajaan untuk pemimpin (Manifesto Bersama Permas-PBDS, 1987). Manifesto itu meliputi bidang ekonomi, dasar pelajaran, Kerajaan dan Pentadbiran Awam, dasar tanah, perumahan, pertanian dan perikanan, serta hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, serta isu nasional yang lain.

Pilihan raya paling sengit

Dalam pilihan raya yang paling sengit itu, Kumpulan Maju pimpinan Abdul Rahman Yakub memenangi 20 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Parti Permas memenangi hanya lima kerusi dan PBDS 15 kerusi.

DAP dan calon Bebas tidak memenangi sebarang kerusi. Dengan itu, Taib sekali lagi melonjak ke puncak kuasa apabila menguasai 28 kerusi. Daripada 28 kerusi itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebanyak 11 kerusi, dan SNAP sebanyak tiga kerusi.

Taib mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada pukul 2.30 pagi, 17 April 1987 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce di Rumah Sarawak.

Ini merupakan satu sejarah apabila majlis angkat sumpah diadakan ketika sebahagian besar orang Sarawak tidur nyenyak. Dalam sidang akhbar selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, Taib meminta semua pihak di Sarawak supaya menghentikan usaha memburuk-burukkan dan menggulingkan kerajaan.

Sebaliknya, beliau meminta supaya mereka membantu memajukan Sarawak. Taib berikrar untuk terus memimpin rakyat Sarawak bagi memacukannya ke hadapan di bawah politik pembangunannya, sambil menjamin bahawa nasib dan kepentingan semua kaum akan tetap dilindungi dan diperjuangkan.

Kemenangan itu kemudiannya banyak mencorakkan corak politik dan kepolitikan di Sarawak serta bagaimana kekayaan dan sumber negeri dikuasai dan diagihkan.

Ternyata kemudiannya berita bahawa perkelahian itu ialah sandiwara benar apabila sekitar 15 tahun kemudian Rahman Yakub dan Taib berpeluk-pelukan dan berbaik-baik semula, sedangkan mereka yang menyokong perjuangan Permas terus disingkirkan oleh beliau, termasuk pemimpin seperti Haji Bujang Ulis, Datuk Salleh Jafarrudin, Datuk Wan Yusuf Tuanku Haji Bujang, Datuk Abang Yusuf Puteh, dan Wan Habib Wan Mandzhar.  

Hakikat ini membuktikan kebenaran  peribahasa bahawa air yang dicencang tak akan putus dan carik-carik bulu ayam pasti akan bercantum semula.

Malah, Wan Yusuf Tuanku Bujang dan Abang Yusuf Puteh ditarik balik gelaran Datuk yang dianugerahi oleh Tun Abdul Rahman Yakub kepada mereka ketika beliau menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Ada daripada pemimpin Permas ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri  1960 (ISA). ISA merupakan satu akta yang mengandungi peruntukan mengenai keselamatan dalam negeri Malaysia, tahan pencegahan, pencegahan perbuatan subversif, penghapusan keganasan terancang terhadap orang dan harta dan mengenai perkara yang bersampingan dengannya.

Di bawah ISA individu terbabit boleh ditahan selama tempoh tidak lebih daripada 60 hari tanpa suatu perintah tahan dibuat berkenaan dengannya di bawah Seksyen 8.

Akta ini untuk sekian lama mendapat kritikan sebagai menindas pihak dan individu tertentu khususnya musuh politik. Selain daripada dianggap bertentangan dengan demokrasi dan bercanggah dengan hak asasi manusia, akta ini sering disalahgunakan oleh pemimpin politik untuk mencengkam musuh politik mereka. Ketika di dalam tahanan mereka terbabit sering menerima layanan buruk.

 Antara yang dijaring atas tuduhan dan cubaan membunuh Taib dan mengancam keselamatan negeri ialah Abdul Rahman Hamzah, Bujang Sapawi, Husaini Jol, Wan Fauzi Tuanku Ayubi, Senawi Sulaiman, Wan Yusuf Tuanku Bujang dan Kadri Tan Sri Mohamad. Tuduhan dan dakwaan tersebut belum lagi dapat dibuktikan secara konkrit sehingga kini.

Tujuannya mereka dikekang di bawah ISA adalah untuk melemahkan perjuangan mereka dan melumpuhkan Permas. Mereka didakwa cuba menghuru-harakan keamanan negeri Sarawak, termasuk melancarkan bom ke arah rumah Taib. Semua individu terbabit menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

SIRI # 1: Taib tewaskan puak Rahman Yakub dalam pilihan raya mengejut paling sengit 1987

SIRI # 2: Hari ini 29 tahun lalu, Krisis Ming Court:  Perkelahian politik Taib, Rahman Yakub di Sarawak