Friday, December 3, 2021

Seorang warga emas maut kerana isteri

Secara Rawak

SIBU: Seorang lelaki warga emas maut diserang dua lelaki ketika cuba mempertahankan isterinya daripada diragut dalam kejadian di Sibu Jaya, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa Louis Lumpang, 65 maut di lokasi kejadian dipercayai diserang menggunakan objek tajam di dahi, manakala isterinya berusia 64 tahun hanya lebam di lengan kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Martin Khoo, berkata suami isteri itu berjalan kaki pulang ke rumah mereka dari menghadiri majlis kenduri di rumah jiran di kawasan perumahan sama.

Katanya, tanpa disedari, ada dua lelaki mengekori pasangan itu dan seorang daripadanya cuba meragut beg tangan milik isteri mangsa.

“Cubaan itu tidak berjaya apabila isteri mangsa berjaya menarik kembali begnya. Mangsa yang menyedari kejadian itu, menjerit ke arah suspek.

“Kedua-dua suspek kemudian menyerang mangsa dipercayai menggunakan objek tajam. Mangsa terjatuh dan terus tidak sedarkan diri.

“Suspek datang kembali kepada isteri mangsa, mengambil beg tangan dan terus melarikan diri,” katanya.

Martin berkata, Pegawai Perubatan Hospital Sibu mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat dihantar ke Hospital Sibu untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Laporan polis dibuat di Balai Polis Sibu Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.- SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru