Wednesday, June 29, 2022

PAS tandingi 11 kerusi termasuk Pujut, Samalaju dan Kakus

Secara Rawak

KUCHING: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) malam tadi mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di 11 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak akan datang.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, daripada 11 kerusi itu, mereka akan menampilkan calon daripada pelbagai latar belakang, termasuk seorang calon wanita bukan Islam.

Enggan menamakan calon-calon tersebut kerana masih belum diluluskan Majlis Syura yang akan bersidang 20 Mac ini, Tuan Ibrahim bagaimanapun menyenaraikan 11 kerusi yang bakal ditandingi tersebut.

” Ini termasuklah Semariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, dan Beting Maro.

” Kita turut menghantar wakil di Lambir, Jepak dan selain kerusi yang bukan tradisi Melayu seperti Kakus, Samalaju dan Pujut,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Pelancaran Tawaran Sejahtera Untukmu Sarawak di salah sebuah hotel di sini.

PAS 2

Tuan Ibrahim mengulangi keyakinan bahawa mereka kini fokus untuk mencari wakil sulung ke Dewan Undangan Negeri Sarawak dan berharap, sejarah itu dapat dicatatkan pada kali ini.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka mengharapkan kemenangan pertama ini bagi membolehkan ia menjalankan peranan sebagai parti penasihat kepada kerajaan memerintah.

” Kita mahu menjadi parti yang menegur kemunafikan dan kesilapan yang berlaku, bukannya menjadi parti yang mengampu,” tegasnya.

Ditanya tentang keyakinan itu, Hadi menjelaskan ia terbit dari senario semasa politik Malaysia dan perkembangan yang berlaku kepada rakyat sekarang.

” Negeri yang paling kuat UMNO, Johor… kita berjaya menghantar empat kerusi di sana. Itu kubu UMMO yang paling kuat.

” Termasuk Pulau Pinang … kita ada…menunjukkan kita boleh menang di mana sahaja.

Hadi menjelaskan, keputusan PAS untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi yang bukan majoriti Melayu-Islam seperti Kakus, Samalaju dan Pujut kerana percaya ada perimbangan dan peluang 50-50 di situ.

” Kita pernah menang di Selangor. Tidak mustahil di Sarawak akan berlaku demikian.”

PAS 3

Berkaitan dengan pertindihan kerusi, katanya, pihaknya masih memiliki ikatan tahaluf dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan proses rundingan mengenai pertindihan kerusi terbabit sedang dimultamadkan.

” Insya-Allah, sedikit lagi,” katanya.

Pada majlis tersebut, PAS berjaya mengutip sumbangan lebih RM500 ribu daripada seluruh negara bagi menggerakkan kempen pilihan rayanya.

Untuk rekod, PAS tidak pernah memenangi DUN Sarawak sejak menyertai pilihan raya negeri ini pada 2001 dan penyertaan kali ini adalah yang tebesar dalam sejarahnya. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru