Hanifah Taib bukan calon Balingian

MUKAH: Anak bongsu Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud hari ini sah tidak akan menyertai senarai calon berpotensi yang akan bertanding di Dewan Undangan Negeri Balingian.

Biarpun nama Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree, 44 tahun, sedang ” mencanak” dan “panas”, sumber terdekat Barisan Nasional menafikan nama Hanifah akan terselit sebagai senarai calon.

” Tidak dinafikan beliau seorang yang aktif dan giat menjalankan aktiviti kebajikan, namun beliau dilihat kurang berminat untuk mewarisi kerusi terakhir yang disandang bapanya.

Tun Abdul Taib melepaskan kerusi tersebut pada 28 Februari 2014 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil Balingian, yang menyaksikan calon BN , Yussibnosh Balo menang ke atas calon Parti Keadilan Rakyat, Abdul Jalil Bujang dengan majoriti 6911 undi.

Jelas sumber itu lagi, nama Pengarah Eksekutif Cats FM yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Sarawak (PERKIS) mula berkumandang di DUN Balingian sejak beberapa bulan lalu. Namanya juga disebut-sebut di DUN Muara Tuang.

Bagaimanapun difahamkan, beberapa faktor termasuk jarak dan sentimen menjadi punca beliau menolak untuk dicalonkan.

Hanifah kini aktif melakukan pelbagai aktiviti kebajikan termasuk mewarisi usaha yang dilakukan oleh arwah ibunya, Laila Taib dalam PERKIS.

Beliau merupakan satu-satunya anak Taib yang mewarisi darah politik keluarganya setelah dua abangnya, Sulaiman Abdul Rahman dan Mahmud Bekir tidak menunjukkan kecenderungan dan minat ke arah itu.

Anak bongsu Taib Mahmud yang ramah ini merupakan pengarah di 16 buah syarikat dan pemegang saham di 90 buah syarikat lain di Malaysia.

Di Australia, Hanifah Hajar adalah pemegang saham utama Sitehost Pty Ltd yang memiliki hotel bertaraf lima bintang seperti hotel ”Adelaide Hilton”.

Suami Hanifah Hajar, Datuk Syed Ahmad Alwee Alsree merupakan bekas peguam dari Singapura yang diangkat menjadi Pengarah Cahya Mata Sarawak Berhad sejak tahun 2006 sebelum menjadi pemegang saham utama syarikat tersebut.

Sebelum ini, nama Faridah Osman diuaruarkan sebagai calon PBB di kawasan tersebut tetapi berikutan desakan dan bantahan oleh lebih 200 pimpinan PBB kawasan tersebut, Faridah akhirnya mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri minggu lalu.

Dua nama yang sedang bergelut untuk menjadi calon selepas pengunduran Faridah ialah usahawan Sulaiman Sahari dan Walikota Mukah, Abdul Yakub Arbi.

Sulaiman yang kini sedang membuat ijazah kedoktoran di Universiti Teknologi Mara merupakan Pengerusi Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak manakala Yakub merupakan Pengerusi Saberkas dan Setiausaha PBB Balingian. – SARAWAKVOICE.COM

BALIGIAN PRN