KUCHING: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari mengesahkan dua wartawan asing dari Agensi Berita Australia (ABC) ditahan malam tadi selepas merempuh kawalan keselamatan ketika kunjungan mesra Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kampung Haji Baki.

 

Louis Eroglu
 Wartawan yang berusia 51 tahun dan jurukamera, 39 tahun tersebut ditahan sekitar 8.35 malam oleh sepasukan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Padawan selepas mengengkari arahan keselamatan malam tadi.

 

Linton Besser
 “Mereka merempuh masuk pada waktu yang bukan dikhaskan untuk wartawan.

“Kita tidak tahu apa tujuan mereka tetapi tindakan tersebut melanggar protokol keselamatan,” tegasnya.

Tan Sri Khalid berkata, para wartawan harus sensitif terhadap kawalan yang diadakan oleh pihak polis adalah demi keselamatan Perdana Menteri.

” Jangan main rempuh sahaja…lazimnya Perdana Menteri akan memberi ruang yang diperlukan kepada pihak media,” katanya ketika ditemui media sebelum menghadiri mesyuarat khas Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini petang ini.

Katanya, kedua-dua wartawan tersebut dibebaskan pagi tadi atas jaminan polis, setelah direkodkan keterangan.

Bagaimanapun kata Khalid, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan terhadap dua wartawan asing ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas alasan mengganggu tugas penjawat awam. – SARAWAKVOICE.COM