Bahaya menyelam di bawah laut

0
169

Umpama jerung menyusur lantai laut, itulah peranan dimainkan oleh pasukan ini. Tugas mereka cukup mencabar — berada di paras bawah 10 meter dari permukaan laut, dengan nyawa bergantung pada silinder tabung udara.

Malah mereka perlu mendepani pelbagai bentuk ancaman selain berdepan risiko maut jika peralatan teknikal tiba-tiba gagal berfungsi ataupun faktor alam yang kurang mesra.

Kerana itulah untuk menjadi seorang anggota pasukan penyelamat dalam air (PPDA), seseorang individu itu perlu berjiwa kental, yakin dan berani.

“Kalau tidak berani, tidak berkeyakinan atau berasa waswas, batalkan niat. Di bawah sana, kita bergantung pada udara yang dibekalkan.

“Malah risiko maut juga menanti jika kita gagal mengawal tahap kedalaman yang dibolehkan, atau jika kita tiba-tiba ‘blackout’, “kata divemaster Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Tawang Lingem.

Tawang Linggem akan memulakan khidmat sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wangsa Maju pada minggu hadapan.

Oleh itu katanya, latihan berterusan adalah perlu untuk setiap anggota PPDA — melibatkan pelbagai kawasan air, baik tasik, sungai, jeram, laut mahupun tangki air.

Kata Tawang, di Sarawak terdapat 32 penyelam bertauliah yang ditempatkan di Balai Bomba Batu Lintang (Kuching), Balai Bomba Sungei Merah (Sibu), Balai Bomba Bintulu dan Balai Bomba Miri.

Untuk melayakkan mereka memakai sut skuba ini, mereka perlu menjalani latihan asas serta mengikuti ujian yang ketat.

“Antaranya termasuklah berenang 200 meter di bawah lima minit, melakukan terjunan berdiri dari paras 10 meter serta menyelam bebas ke dasar kolam sejauh 15 meter sebelum memakai peralatan skuba yang diletakkan di lantai kolam.

“Pun begitu, cabaran paling getir yang menyebabkan banyak yang gagal adalah mengapungkan diri selama 15 ke 20 minit,” katanya.

Jelas Tawang, setelah asas tersebut, para penyelamat turut dilatih kaedah mencari dan menyelamat di dalam air, terutama ketika pandangan berada pada paras sifar.

“Di sinilah ujian sebenar bagi setiap penyelamat. Kita perlu tenang dan dapat berfikir dengan jelas. Hanya selepas itulah baharu kita dapat merancang tindakan yang patut diambil,” katanya.

Kerana itulah katanya, keyakinan setiap penyelam adalah penting sebelum turun ke dasar air.

“Tidak boleh berasa berbelah-bahagi atau waswas. Kalau ada, beritahu ketua atau buddy kita, agar tugas itu boleh digantikan dengan penyelam lain,” katanya.

Katanya, tahap kecergasan fizikal dan mental adalah penting kerana di dasar sungai dan laut, komunikasi hanya menggunakan bahasa isyarat dan tali.

Keupayaan pasukan ini diuji beberapa minggu lalu untuk mencari dan menyelamat dua mangsa lemas di dasar air terjun Jangkar, Lundu.

“Bayangkan menuju ke lokasi air terjun yang terletak di pertengahan gunung. Treknya agak sukar dan kami mengambil masa 45 ke 50 minit untuk sampai ke lokasi dari kaki gunung.

“Pasukan kedua pula mengambil masa yang agak lama kerana perlu memikul peralatan selaman.

Menyelam di kawasan air terjun kata Tawang, memerlukan kecekapan kerana pasukan penyelam perlu mengikut arus air dan masuk dari kawasan tepi.

“Bayangkan arus kuat yang berterusan dan gelap. Air pula terlalu sejuk.”

Namun bersandarkan pengalaman, pasukan skuba ini mengambil masa kurang 25 minit untuk melepaskan mayat mangsa yang tersangkut di bawah pusaran air.

Kata Tawang lagi, penting untuk setiap penyelam membuat keputusan yang bijak agar tidak membahayakan diri.

“Pernah satu mayat di Bau terlekat pada saluran air. Buddy saya tidak berani kerana keadaan air dari saluran seperti ini boleh menyedut.

Tawang berkata, dia mengambil keputusan untuk turun ke dasar sungai dan melakukan pencarian seorang diri.

“Akhirnya saya dapat mengesan kedudukan mayat dan terpaksa menanggalkan set untuk menghulur badan ke dalam salur tersebut bagi mengesahkan kedudukannya.

¬†“Setelah pasti, saya menimbulkan diri dan menggunakan jengkaut untuk mendapatkan mangsa.”

 Kata Tawang, biarpun penat, biarpun berisiko dan biarpun sukar, tugas menyelamat di dalam air ini perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya selalu berpesan kepada diri, dan juga kepada rakan-rakan serta anggota saya, kita memikul harapan orang. Harapan keluarga mangsa.

“Mereka inginkan jasad mangsa ditemui dibawa keluar dan disempurnakan, walaupun sesukar mana untuk kita membawa mereka keluar.

“Saya letakkan diri dalam situasi keluarga ini,” katanya lagi. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA:

Siri #2 – Dikata gila, menyelam bersama buaya