Sunday, September 25, 2022

2 wartawan ABC perlu patuhi etika kewartawanan Malaysia : Zahid

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi ingatan bahawa etika kewartawanan yang diamalkan di negara ini perlu dipatuhi oleh semua pengamal media termasuk wartawan asing.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mana-mana pengamal media, sama ada dari dalam atau luar negara, tidak pernah dihalang untuk membuat liputan dalam sebarang majlis ataupun dihalang menemu bual tokoh tertentu di negara ini.

wartawan abc_0000“Namun mereka harus mematuhi arahan pihak berkuasa di negara ini,” tegasnya pada sidang media Mesyuarat EXCO Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini petang tadi.

Katanya, ada suatu ketika golongan kenamaan harus diberikan langkah-langkah keselamatan.

Oleh itu, pihak berkuasa keselamatan terpaksa meletakkan keutamaan dalam menjaga keselamatan mereka dan ini tidak harus dilihat sebagai halangan terhadap kebebasan akhbar dan media, tegasnya.

Beliau merujuk tindakan polis menahan dua wartawan ABC News dari Australia selepas merempuh kawalan protokol keselamatan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan kunjungan mesra ke Kampung Haji Baki, Kuching malam semalam.

Kedua-dua individu terbabit, ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi selepas diberikan amaran keras, selain keterangan mereka direkodkan.

Penahanan itu kemudian tersebar dan menarik perhatian kebanyakan media di dunia dengan alasan bahawa mereka ditangkap ketika sedang membuat liputan tentang masalah rasuah di Malaysia.

zahid hamidi 1

Zahid berkata, tindakan (penahanan) yang diambil itu sebaliknya adalah untuk memastilan wartawan asing ini tidak melanggar batas dan budaya kewartawanan yang diamalkan di negara ini.

“Acuan tataetika di Malaysia harus diikuti, dan soal keselamatan harus diberikan keutamaan oleh pihak berkuasa.

“Mana-mana wartawan harus menghormati peraturan ini,” ujarnya.

Datuk Seri Ahmad Zahid menambah, sekiranya pengamal media tempatan dihantar membuat liputan di negara asing sekali pun, mereka semestinya dikehendaki mematuhi etika kewartawanan, terutama membabitkan faktor keselamatan dalam penugasan di negara berkenaan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan penahanan dua wartawan penyiaran Agensi Penyiaran Australia malam tadi.
Mereka dikenali sebagai Linton Bresser, 51 tahun dan Louis Eroglu, 39 tahun. SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru