Wednesday, June 29, 2022

Taib tewaskan puak Rahman Yakub dalam pilihan raya mengejut paling sengit 1987

Secara Rawak

KUCHING; Kerana tidak lagi mempunyai pilihan, akhirnya Taib terpaksa kembali kepada rakyat dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri  (DUN) pada tahun 1987. Hal ini berlaku sesudah empat orang Menteri dan tiga orang Menteri Muda daripada Kabinet Negeri Sarawak tiba-tiba meletakkan jawatan mereka.

Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub_0000
Abdul Rahman Yakub

Mereka ini dengan penyokongan mereka kemudiannya berhimpun di  Ming Court, sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Kumpulan pimpinan Abdul Rahman Yakub mendakwa disokong oleh 32 daripada 48 orang Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Ming Court Affair”

Namun, jumlah itu telah berkurangan kepada 28 orang sahaja, dan menjadi 27 orang selepas Wan Abdul Wahab Wan Sanusi menafikan bahawa beliau menyokong bekas Yang di-Pertua Negeri dan mantan Ketua Menteri Sarawak itu. Rahman Yakub pernah menjadi Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981.

Peristiwa itu kemudiannya dikenali sebagai “Ming Court Affair” dalam sejarah politik Sarawak sempena nama hotel tempat mereka berhimpun. Mereka mengumumkan telah hilang kepercayaan terhadap Taib kerana “beliau tidak lagi dapat mentadbir kerajaan dengan baik dan gagal membela kepentingan kaum bumiputera di Sarawak” (Sarawak Tribune, 11 Mac 1987).

Pergolakan politik “Ming Court” telah menggemparkan Sarawak.

Datuk Abdul Taib Mahmud kembali ke Sarawak atas kemahuan Tun Abdul Rahman Yakub sehingga beliau diangkat sebagai Ketua Menteri pada 1981 menggantikan tempat yang dikosongkan oleh bapa saudara beliau itu. Namun, Taib tidak memerintah seperti yang dikehendaki oleh Rahman Yakub yang dikelilingi oleh banyak kroninya. Taib menjalankan dasar dan pentadbirannya dengan caranya tersendiri. Inilah punca perselisihan yang menimbulkan ketegangan dan drama konfrontasi antara mereka, selain daripada perebutan kawasan balak.

Dua puluh tujuh orang ADUN yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Maju mendesak agar Taib meletak jawatan atau berdepan undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri. Taib tidak mengendahkan desakan itu.

Rahman Yakub merancang untuk melantik Noor Tahir sebagai calon Ketua Menteri dalam kabinet bayangan rancangan beliau. Noor Tahir pada masa itu ialah Menteri Perhutanan lantikan Rahman Yakub, sebuah kementerian yang penting waktu harga balak melambung tinggi memperkaya kroni dan takue balak.

Noor Tahir orang kanan Rahman Yakub. Sebelum dilantik menjadi Menteri, beliau ialah Setiausaha Politik  Rahman Yakub  buat sekian lama. Berazam untuk menjayakan rancangannya, Rahman Yakub mendapat sokongan daripada 28 orang ADUN.

Hafsah Harun
Hafsah Harun

Atas dasar taat setia dan hormat kepada  Rahman Yakub, beliau terpaksa bersetuju dengan rancangan Rahman Yakub. Kumpulan 28 ADUN yang  terdiri daripada 10 orang dari PBB, 8 orang dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), 4  orang dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan enam orang dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). David Tiong dilantik sebagai jurucakap kumpulan itu dan dicadang sebagai Timbalan Ketua Menteri baharu.

Taib menyanggah bilangan ahli PBB itu dan beliau mengatakan hanya lapan orang sahaja ADUN PBB yang menyertai kumpulan itu. Mereka ialah Noor Tahir, Hafsah Harun, Datuk Wan Yusuf Tuanku Haji Bujang, Wan Madhi Mahdhar, Wan Habib Wan Mahdhar, Datuk Salleh Jafaruddin, Datuk Tajang Laing dan Hillary Tawan.

Datuk Salleh Jafaruddin
Salleh Jafaruddin

Ada dakwa ADUN diculik di Kuala Lumpur

Berita tersebar luas menyatakan  bahawa kumpulan 28 itu berkampung di Ming Court Hotel, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, di dalam bilik 707. Abdul Rahman Hamzah, Pegawai Perhubungan dan penyelaras kumpulan itu menyatakan kepada media bahawa mereka semua bukan diculik ke Kuala Lumpur, tetapi atas kemahuan dan sukarela.

Datuk Edmund Langgu, Noor Tahir, David Tiong dan kumpulan ADUN berkenaan diiringi 20 ahli BN merancang untuk mengadap Speaker meminta agar persidangan  DUN diadakan untuk mengemukakan usul tidak percaya kepada Ketua Menteri, Taib Mahmud dan kemudian membubarkan DUN Sarawak.

Kemudian kumpulan itu  menuju ke Astana untuk mengadap Yang di-Pertua Negeri, tetapi mereka dimaklumkan beliau tidak berada di Astana. Dengan rasa hampa, kumpulan itu pergi ke pejabat Ketua Menteri dan mereka difahamkan bahawa Ketua Menteri juga berada di Kuala Lumpur. Ikuti siri ketiga dan terakhir esok. – SARAWAKVOICE.COM

BACA JUGA: 

SIRI # 2: Hari ini 29 tahun lalu, Krisis Ming Court:  Perkelahian politik Taib, Rahman Yakub di Sarawak

SIRI # 3: Serangan Rahman Yakub terhadap Taib dalam Ming Court

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru