Wednesday, June 29, 2022

Penghasut Himpunan 27 Mac akan ditangkap – Ketua Polis Negara

Secara Rawak

MIRI: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam memberi amaran bahawa beliau tidak akan bertolak ansur, malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Hasutan 1949 (Pindaan 2015) ketika berucap pada perhimpunan yang dijadualkan pada 27 Mac depan.

ketua polis

Katanya, mereka yang akan berucap pada hari tersebut, biarpun di kawasan tertutup harus berhati-hati kerana polis akan bertindak jika ucapan dan ungkapan mereka menyentuh perkara yang diistilahkan sebagai hasutan.

“Mengenai perhimpunan itu, pihak polis masih belum menerima sebarang notis dan permohonan daripada penganjur.

“Saya tidak tahu di mana mereka akan menganjurkan majlis tersebut.

“Biarpun mereka mengadakan di kawasan tertutup atau persendirian, kita (polis) tetap akan memantau rapi (ucapan tersebut),” tegasnya kepada media selepas menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara di sini semalam.

Seramai 164 pegawai dan anggota yang terlibat dalam mempertahankan Lahad Datu daripada serangan pengganas Sulu yang menuntut Sabah pada tahun 2013 menerima pingat tersebut.

Difahamkan, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara kenamaan yang telah mengesahkan kehadiran perhimpunan “deklarasi rakyat” pada 27 Mac.

Perhimpunan ini yang dianjurkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertujuan memberi tekanan dan membantah
kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya mengenai pilihan raya negeri Sarawak ke-11, Khalid berkata, polis telah mengenal pasti kawasan dan titik panas di seluruh negeri ini.

Bagaimanapun, beliau enggan menamakan kerusi-kerusi tersebut, sebaliknya memberikan jaminan bahawa polis akan memastikan perjalanan proses pilihan raya yang membabitkan 82 kerusi itu akan berjalan lancar. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru