Saturday, May 21, 2022

Mahathir singa luka, Najib perlu bersedia diterkam

Secara Rawak

clipart-of-a-black-and-white-injured-lion-using-a-cane-by-prawny-vintage-1129KUALA LUMPUR: Sebagai Penasihat Petronas Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai beberapa keistimewaan. Pejabatnya terletak di aras 86 Menara Berkembar Petronas di jantung kawasan elit ibu kota negara 30 juta, Malaysia. Menara berkenaan  siap dibina syarikat Jepun dan Korea pada 1998.

Hari ini, kata Mahathir dalam memoirnya Petronas merupakan salah sebuah syarikat petroleum nasional yang paling berjaya di dunia.

Dalam A Doctor in The House beliau berkata: “Petronas bukan sekadar membina menara kembar di Kuala Lumpur, tetapi membantu menjadikan Malaysia sebagai menara dalam kalangan negara membangun.”

Kuala Lumpur yang berdetak 24 jam, dan memiliki pemandangan yang begitu panaromik dari tingkat atas, memberi semacam kepuasan kepada mantan Perdana Menteri itu setiap kali beliau melihat dari pejabatnya.

Apatah lagi bangunan yang pernah mencatat rekod sebagai bangunan tertinggi dunia itu, merupakan idea beliau. Bangunan itu dibina di atas tanah seluas 100 ekar di sepanjang Jalan Ampang, dulunya dimiliki Kelab Lumba Kuda Selangor.

Mengikut The Wall Street Journal,  penyingkiran Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas, datang pada ketika syarikat tersenarai dalam Fortune 500 berusaha mengurangkan perbelanjaan sebanyak US$11.4 bilion untuk tempoh empat tahun akan datang. Syarikat minyak gergasi yang banyak menyumbangkan pendapatan kepada kerajaan itu turut mengurangkan 1,000 pekerjaan ketika ia berdepan dengan harga minyak dunia yang merudum.

Mahathir pernah mahu berundur

Mengikut sumber penasihat menerima antara RM12 ribu hingga RM16 ribu sebulan, jumlah yang tentunya kecil bagi Mahathir.

Bukan sangat kerana wang, tetapi pancungan terhadap Mahathir itu bagi penyokong negarawan itu ialah strategi memperlekeh, menjatuhkan maruah dan air mukanya. Sebaliknya bagi penyokong kerajaan, beliau sepatutnya tahu akan implikasi dan kesan tindakannya bersekongkol dengan pembangkang, dan terus-terusan menekan Najib. Tindakan itu dianggap munasabah dan sepatutnya diambil beberapa bulan lalu, kata mereka.

Untuk beberapa lama, Mahathir menjadi duri dalam daging. “Duri itu perlu dicabut, kalau tidak, tubuh akan terus berasa tidak selesa.Tidak wajar bagi Mahathir untuk bertindak sedemikian kerana kedudukan dan kemudahan yang diberi, bukan untuk mengkritik Najib dan kerajaan. Mungkinkah beliau berkompromi jika berlaku kritikan tajam sedemikian ketika beliau menjadi Perdana Menteri?” tanya seorang ahli UMNO, yang enggan dikutip namanya.

Sebagai penasihat, Mahathir juga mempunyai setiausaha dan staf sokongan untuk membantu melancarkan tugasnya.

Siapakah bakal pengganti beliau?

Sumber di Putrajaya mengatakan kemungkinan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi bakal mengisi kekosongan itu.

Jika ini berlaku ia merupakan satu tamparan hebat kepada Mahathir yang juga pengkritik keras Abdullah sehingga tumbang dari kerusinya selepas menyaksikan BN ditolak rakyat pada PRU 2008. Sebelum Mahathir, penasihat Petronas ialah Tun Husien Onn. Berdasarkan rekod lepas ternyata jawatan berprestij itu dirizab untuk mantan Perdana Menteri.

Sebenarnya, pada awal Disember  2013, Tun Dr Mahathir mahu berundur sebagai Penasihat Petronas.  Faktor usia serta mahu menumpukan perhatian kepada kesihatannya diberikan sebagai alasan.

Mantan Perdana Menteri dilantik sebagai Penasihat Petronas selepas berundur sebagai Perdana Menteri pada 2003. Beliau juga merupakan Pengerusi Proton Holdings sejak Jun 2014.

Datuk Seri Najib Razak ketika itu berharap Dr Mahathir memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya itu. Perdana Menteri berkata kerajaan berpendapat amat wajar dan sesuai untuk Dr Mahathir  terus berkhidmat kerana beliau masih mampu memberi sumbangan kepada kejayaan Petronas.

Namun, semalam bersetuju sebulat suara menamatkan pelantikan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan  berkata, kabinet berpendapat oleh kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan.

“Kabinet hari ini telah membincangkan tindakan-tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.

Deklarasi mahu jatuhkan kerajaan

“Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara,” kata kenyataan itu.

Langkah itu diambil susulan penglibatan beliau dalam deklarasi rakyat minggu lalu, menuntut pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.   

“Kabinet berpendapat oleh kerana Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi mendukung kerajaan yang sedia ada, sewajarnya beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan Malaysia.”

Menurut Pejabat Perdana Menteri, keputusan terbabit dicapai secara sebulat suara.
Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO menggesa lantikan Dr Mahathir dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditarik balik. Sebab, Dr Mahathir telah bertindak melampau apabila bergabung dengan pembangkang. Dr Mahathir telah mendesak Najib supaya berundur bersama musuh politiknya untuk sekian lama.

Mahathir, 90, mengumumkan keluar UMNO  29 Februari lalu sebagai tanda protesnya terhadap kepemimpinan Najib yang terpalit kontroversi 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.  Beliau merupakan pengkritik tegar Najib kerana kedua-dua kes berkenaan.

Kalah jadi abu, menang jadi arang

Apakah implikasi dan kesan tindakan kabinet itu terhadap landskap politik negara.  Sebagai tokoh dan negarawan masih berpengaruh dalam kalangan rakyat, sudah pasti, ia memberi implikasi yang amat mendalam. Kali ini, kalah jadi abu menang jadi arang. Dr Mahathir sudah pasti tidak akan mengibarkan bendera putih; sebaliknya akan terus menggempur kubu Najib dan UMNO.

Matlamat menghalalkan cara. Agenda utama Dr Mahathir adalah untuk melihat Najib tumbang dari kerusinya di Putrajaya. Selagi itu tidak berjaya, selagi itulah beliau dan konco-konconya akan terus bermati-matian menggemblengkan usaha. Belum dapat belum berhenti menjadi pegangan beliau.

Kewibawaan beliau sebagai Perdana Menteri tentu terpukul teruk. Dr Mahathir umpama singa luka, yang pasti akan mengganas dan memastikan musuhnya diserang habis-habisan. Dan, beliau akan lakukan ini dengan bukan sahaja bergabung dengan puak yang memiliki pendirian yang sama dengannya dalam UMNO, tetapi beliau pasti akan bekerjasama dengan pembangkang.

Siapa tahu selepas ini, beliau akan bergabung dengan Anwar Ibrahim? Mungkinkah mereka akan bertemu di penjara? Mungkinkah kerajaan memberi kebenaran kepada beliau bertemu Anwar di Penjara Sungai Buloh? Segalanya serba mungkin. – SARAWAKVOICE.COM

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru