KUCHING: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi menempelak kumpulan yang cuba mengheret rakyat untuk menggulingkannya sebagai “penipu”.

Menurutnya, tindakan dan dakwaan mereka bahawa deklarasi yang ditandatangani itu adalah deklarasi rakyat (keseluruhannya) tidak lebih daripada pembohongan semata-mata, kerana majoriti rakyat terutamanya di Sarawak tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

” Berlaku satu kumpulan yang diketuai oleh seorang (Perdana Menteri) yang memimpin selama 22 tahun…buat satu majlis mengisytiharkan deklarasi rakyat…tetapi sebenarnya ia bukan deklarasi rakyat!

” Ia bukanlah deklarasi yang ditentukan, yang ditulis, yang dipersetujui oleh rakyat Malaysia sebenarnya kerana sebahagian besar rakyat Sarawak misalnya, tidak bersetuju dengan apa yang telah berlaku pada hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Malaysia Inklusif Negara Digital (MINDA) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Tebingan Kuching hari ini.

deklarasi najib

Najib merujuk kepada Deklarasi Rakyat yang ditandatangani bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang, Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Mustafa Ali, Muhammad Sabu dan Lim Guang Eng.

Menurut Najib, dalam menangani isu ini, rakyat sebenarnya perlu bijak, terutamanya dalam menilai apa yang diperjuangkan oleh golongan ini.

” Harus dinilai apa yang dikatakan mereka itu fakta atau auta. Perjuangan mereka dan agenda mereka…bukan agenda rakyat tetapi agenda peribadi.

“Janganlah kelirukan rakyat dengan mendakwa apa yang mereka mahu lakukan itu adalah suara rakyat,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak serta Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Menyentuh tentang program Minda, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menggiatkan lagi langkah-langkah yang lebih sesuai untuk meningkatkan keupayaan penggunaan digital kepada masyarakat.

” Untuk tujuan ini kerajaan akan terus menambah baik liputan di bandar-bandar utama serta melaksanakan projek HSBB Fasa 2 dengan kerjasama sektor swasta yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion.

” Inisiatif ini dijangka menyediakan liputan dan kemudahan tambahan terutamanya di kawasan bandar, yang memberi manfaat kepada 2.8 juta isi rumah di seluruh negara serta peningkatan kelajuan Internet kepada 10 mega bit per saat.

Tambahnya, pada masa yang sama, kawasan pinggir bandar akan turut disediakan kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi dengan penambahan akses kepada Internet di antara 4 dan 10 mega bit per saat, satu inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih dua juta pengguna.

Bagi negeri Sarawak, jelasnya, kerajaan telah dan sedang menjalankan kerja-kerja baik pulih rangkaian komunikasi selular dan WiFi di seluruh negeri itu.

” Ini termasuk menyediakan 150 menara komunikasi dan 438 WiFi Komuniti menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pemberi perkhidmatan utama seperti Celcom, Digi, Maxis, Redtone dan Measat.

” Bagi meningkatkan akses kepada Internet untuk negeri Sabah dan Sarawak juga, kerajaan komited untuk melaksanakan pemasangan kabel dasar laut dalam tempoh 3 tahun dengan kos sebanyak RM850 juta.”

Berita baik ini menurutnya, akan membolehkan kemampuan berhubung dalam kalangan rakyat ditingkatkan, selain memastikan maklumat berada di hujung jari. – SARAWAKVOICE.COM

deklarasi najib 4