Ketika penulis menerima jemputan  untuk menghadiri sidang akhbar Deklarasi Rakyat beberapa hari sebelum acara tersebut berlangsung minggu lalu, oleh salah seorang tokoh penting Deklarasi Rakyat,  rasa keterujaan untuk melihat dinamika politik Malaysia semakin membara.

gajah pelanduk_0000Kira-kira 10 tahun lepas, pengkaji politik barat menganggap  politik Malaysia kurang dinamik khususnya apabila dibandingkan dengan negara seperti Indonesia dan Thailand. Banyak perkembangan yang menarik berlaku yang menyumbang penyuburan demokrasi  berlaku hingga banyak kajian  di Asia Tenggara tertumpu kepada dua negara tersebut.

Namun sembilan tahun kebelakangan  ini,  dunia demokrasi dan  dinamika politik Malaysia  dapat dirasai. Malah kadangkala dirasakan  semakin panas berbanding dengan situasi di Indonesia dan Thailand mutakhir ini. Media antarabangsa  pula mulai banyak memberikan perhatian dalam beberapa isu yang melanda Malaysia.

Cuaca politik juga tidak dapat diramal dengan tepat. Terdapat beberapa perubahan dan peristiwa yang tidak dijangka berlaku.   Buktinya, difahamkan  telah berlakunya pertukaran tempat sidang sehingga pada saat-saat akhir.  

Kehadiran penulis ke sidang tersebut atas kapasiti sebagai ahli akademik  dan mengajar kursus politik Melayu pada semester ini membuka ruang untuk  hadir dan  membuat pemerhatian politik pada  hari Jumaat lepas.

Beberapa Catatan   

Antara tokoh politik awal yang hadir sebelum pukul 2.30 ialah  bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin dan  YB Salahuddin Ayub selaku Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).  Datuk Seri Khairuddin memakai baju Melayu lengkap bersongkok  kelihatan segak, tinggi dan terserlah kewibawaan menjadi tumpuan wartawan.

Pemimpin  besar DAP Lim Kit Siang, Teresa Kok, Anthony Lok turut kelihatan.

Sekitar pukul 3.00 pm, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengarah  Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden  parti Amanah, Mohamad Sabu, Naib  Presiden PKR Tian Chua, aktivis politik Datuk Zaid Ibrahim, aktivitis Bersih Ambiga, NGO antirasuah C4 Cynthia Gabriel turut kelihatan hadir.  Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, YB Datuk Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar tokoh PKR turut kelihatan.

Kehadiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir menarik perhatian apabila disambut oleh beberapa orang yang mempunyai stail rambut yang hampir sama.  

Datuk Azmin Ali Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR kelihatan hadir dengan memakai baju Melayu lengkap bersongkok.  

Kedatangan Tun Mahathir dan Dr  Hasmah Ali menerima tepukan dan sorakan yang paling hangat.

Tun Liong Ling Sik yang dianggap ‘godfather’   atau bapa besar dalam kalangan orang Cina turut hadir. Beliau kelihatan ceria dan  tenang. Ramai tokoh lain kelihatan seperti Wartawan Negara Datuk Kadir Jassin dan Hishamuddin Rais.

Kelihatan pemimpin utama Perkasa bersama pengikut-pengikut mereka turut hadir.

Kehadiran gabungan tokong penting UMNO, PAS, PKR, AMANAH, MCA, aktivis politik dan sosial, tokoh media pastilah mencipta sejarah negara.

Bukannya senang untuk bersatu hati khususnya  antara Lim Kit Siang dan Tun Dr Mahathir yang dahulu dianggap sebagai  dua gergasi besar dalam dunia politik Malaysia dan saling  bercakaran.

Tanpa mengenal parti politik, ideologi, agama dan bangsa serta konflik yang pernah berlaku sesama mereka dahulu mereka bersatu hati. Sudah pasti ada sesuatu yang lebih besar daripada daripada yang membawa kepada ‘penyatuan’ ini.

Tentunya, ada faktor yang lebih besar menyebabkan  tokoh negarawan dan  politik  sanggup menguburkan perbezaan ideologi politik dan politik kepartian untuk bersama-sama duduk semeja.

Deklarasi Rakyat

Dengan tenang Tun Mahathir  berucap dan membaca pengistiharan Deklrasi Rakyat sebaiknya aluan ringkas  sebagai pembuka majlis disampaikan.

Dalam ucapan tersebut,  Tun Mahathir berkata kehadiran mereka bukanlah mewakili parti politik atau NGO. Sebaliknya, lebih sebagai rakyat Malaysia  yang bimbang, mengambil berat dan peka  terhadap masa depan Negara. Jadi,  menurut Tun Mahathir tujuan utama mereka ialah menyingkirkan  kepimpinan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri Malaysia.

Selebihnya, beliau membaca ringkasan deklarasi rakyat  yang menjadi sejarah  dalam perkembangan politik Malaysia.

Dua Gajah Bertembung

Namun,  persoalan yang timbul ialah sejauh manakah deklarasi rakyat yang kini menjadi Gerakan  Selamatkan Negara mempunyai  mekanisme yang sistematik dapat  bergerak lancar  dan menyatukan seluruh gabungan kepelbagaian parti, aktivis untuk mencapat matlamat mereka?

Sudah bersediakah mereka menerima reaksi balas daripada  tindak balas pemimpin arus perdana?

Tanpa strategi, tindakan pantas, gerakan memenangi hati rakyat sudah pasti  salah satu antara pihak yang menentang dan ditendang pasti akan kecundang!

Sejauh manakah dapat dielakkan daripada berlakunya situasi  yang dibayangkan oleh peribahasa Melayu ‘gajah sama gajah berjuang, kita sebagai  rakyat pelanduk mati di tengah-tengah’?.
Masih adakah ruang untuk  menyelesaikannya secara lebih terhormat  atau nasi sudah menjadi bubur? Kesemua ini perlu direnungi  secara mendalam oleh semua rakyat Malaysia! – SARAWAKVOICE.COM