Bakar hutan dengan ubat nyamuk angkara khianat

MIRI: Penemuan lingkaran ubat nyamuk di lokasi hutan terbakar di Kuala Baram dekat sini, petang semalam menguatkan lagi dakwaan berkemungkinan ia angkara khianat.
Kawasan hutan seluas 32 hektar itu mula terbakar sejak jam 3 petang, semalam dipercayai angkara perbuatan khianat dan pembakaran terbuka.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, bomba menemui lingkaran abu ubat nyamuk di kawasan terbakar.
Katanya, bomba percaya ia adalah perbuatan khianat pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja membakar ubat nyamuk di kawasan itu.
“Pembakaran terbuka juga mengakibatkan api terus merebak tetapi kebakaran masih dapat dikawal.
“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dan pemilik tanah sedang berusaha memadamkan kebakaran,” katanya.
Bulan lepas, kebakaran hutan dan belukar turut berlaku di kawasan sama membabitkan 80 hektar keluasan.
Bomba mengambil masa hampir seminggu untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran tanah gambut itu. – SARAWAKVOICE.COM